Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Malaysia adalah sebuah ekonomi yang kukuh dari segi konteks global, kata Ketua Eksekutif Kumpulan Standard Chartered Bank, WilliamT. Winters.

“Kami sangat positif terhadap ekonomi Malaysia. Pertumbuhan pada 2017 adalah sangat kukuh dan kami menjangkakan satu lagi tahun yang baik untuk pertumbuhan pada tahun ini.

“Kami melihat displin fiskal yang kukuh, apa yang penting adalah matawang yang kukuh dan stabil serta eksport yang semakin berkembang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan selama 30 minit bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Abrar A Anwar.

Menurut Winters, bank berkenaan sangat aktif membawa masuk pelaburan ke dalam negara dan pandangan pelabur-pelabur antarabangsa terhadap Malaysia juga positif kerana mereka selesa dengan undang-undang, pertumbuhan ekonomi dan bakat-bakat yang ada di negara ini.

Mengulas mengenai perniagaan bank tersebut di Malaysia, Winters berkata, Standard Chartered melihat peluang untuk meningkatkan penglibatan dalam industri-industri eksport utama.

“Kami sangat aktif di dalam membawa pelaburan-pelaburan antarabangsa ke dalam Malaysia termasuk menyertai pelaburan bersama Saudi Aramco dalam industri petrokimia selain projek-projek infrastruktur seperti projek keretapi laju atau Jajaran Rel Pantai Timur (ECRL).

“Ini merupakan projek-projek utama untuk Malaysia dan Standard Chartered,” tambahnya.

Menyentuh mengenai pertemuannya dengan perdana menteri, Winters berkata, Najib kagum dengan komitmen bank berkenaan terhadap pelaburan-pelaburan berterusannya serta penglibatan Standard Chartered di dalam membantu mempromosikan perdagangan dan pelaburan Malaysia.-BERNAMA