ISKANDAR PUTERI -Pencapaian dan prestasi kerajaan negeri Johor sepanjang lima tahun akan dibentang kepada masyarakat umum Ahad ini menerusi pelancaran Kad Laporan Pencapaian Kerajaan Johor 2013 -2018.

Pelancarannya akan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Pelancaran Jentera Wanita Barisan Nasional Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.

Pelbagai maklumat bakal diperoleh menerusi kad laporan itu, termasuk kemajuan semasa agenda yang telah diperkenal dan dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak diberi mandat menerajui negeri Johor pada 2013 hingga kini.

Menariknya, laporan pencapaian itu juga adalah berasaskan prestasi akujanji kepada rakyat sebagaimana yang telah dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, yang bertemakan ‘Mensejahterakan Rakyat’.

Antara lainnya, ia melibatkan perumahan dan pemilikan tanah, infrastruktur awam, membasmi kemiskinan, modal insan dan pekerjaan serta kemajuan semasa mengikut aspirasi Johor Berkemajuan.

Kad laporan itu dikeluarkan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian dan kemajuan semasa kerajaan negeri dalam merencana pelbagai dasar dan agenda untuk kesejahteraan rakyat khususnya Johor pada hari ini dan masa hadapan. – MalaysiaGazette.