Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meninjau terusan air dari Empangan Triang selepas merasmikan Majlis Perasmian Empangan Triang di Empangan Triang, Jelebu, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – “Kalau dulu saya dalam dunia korporat, kami hanya tumpu pada masalah untung rugi.

“Politik pulak macam-macam kita nak kena tengok. Segala yang di bawah matahari kita nak kena tengok.

“Kadang-kadang lembu hilang pun telefon saya pukul 2 pagi,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai cabarannya menjadi pemimpin politik.

Dalam interbiu khas dengan portal http://www.therakyat.com Mohamad mengakui dalam dunia politik beliau banyak berkorban berbanding dunia korporat sebelum ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) beramah mesra dengan tenaga pengajar semasa Lawatan Kerja Ke Kolej Komuniti Jelebu, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MAC 2018.

“Pengorbanan memang banyak. Dulu masa saya dalam dunia korporat, saya tak ada apa-apa masalah. Senang lenang.
Setiap bulan pergi ke Eropah, pergi ke Jerman, pergi ke Perancis, pergi ke New York untuk mesyuarat.

“Namun seperti yang saya kata pada anak-anak saya, pada keluarga saya, pada kawan-kawan…di satu tahap dalam kehidupan kita, kalau perlu kita berkorban, kita berkorbanlah termasuklah berkorban dari segi pendapatan,” katanya lagi.

Apa pun, beliau tetap berpuashati kerana menerusi platform politik beliau boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Ditanya mengenai kenyataannya sering ditularkan, Mohamad berkata; “Saya bercakap dari isi hati saya. Selalunya saya bercakap di atas asas untuk menasihatkan orang ramai.

“Saya tak tahulah cakap-cakap saya itu diikuti orang ramai atau tidak.

“Saya bukannya ada agenda tertentu. Kalau perlu saya nasihat, saya nasihat. Kalau ada perkara tak betul, saya kata tak betul.

Mana yang perlu saya kata baik, saya kata baiklah. Di Negeri Sembilan ni saya rasa orang dah faham cara saya mentadbir,” ujarnya.

Beliau mahu Negeri Sembilan maju dan tidak suka kerja dilengah-lengahkan kerana masa baginya tidak akan menunggu kita.

Beliau juga tidak kisah sama ada dikekalkan lagi di Negeri Sembilan atau dipanggil berkhidmat sebagai menteri oleh Perdana Menteri selepas PRU-14 nanti.

Mohamad juga yakin Barisan Nasional akan kekal memerintah Negeri Sembilan walaupun macam-macam dakwaan pembangkang sebelum ini.

Beliau dalam masa yang sama kesal dengan perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu bak kata pepatah ‘menang sorak, kampung tergadai.’

“Bak kata orang tua-tua dulu, antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang.

“Jadi kita sama kita berlaga, beras kita akan jatuh ke tanah daripada lesung kita. Bila beras dah jatuh ke tanah, kita jarang pungut, maka akan jadi bahan makanan ayamlah.

“Maksudnya di sini bila Melayu sama Melayu berlaga, orang lainlah yang untung.

“Melayu masih tak sedar, masih nak bertelagah sesama sendiri, masih lagi nak berselisih faham atas yang kecil-kecil, kita tak pandang gambar yang besar,” katanya.

Orang Melayu, menurut Mohamad berpolitik berasaskan kepada parti, orang bukan Melayu berpolitik atas dasar bangsa.

“Kalau kita tengok kadang-kadang, kalau kita ‘usik’ masalah bahasa, masalah sekolah, parti komponen kita sendiri yang melenting, bukannya parti pembangkang.

“Kita orang Melayu, politik kita…bangsa hanyut, agama, tanah air kita hanyut.

“Cuba tengok sepanjang jalan, yang banyak bendera semuanya parti Melayu. Di situ jelas menunjukkan orang Melayu dah berpecah belah. Amat menyedihkan,” kesalnya.- MalaysiaGazette