Maria Chin Abdullah

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah secara sah akan menggunakan lambang PKR semata-mata untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Pengumuman itu dibuat Naib Presiden PKR, Nurul Izah Anwar di ibu pejabat parti itu hari ini.

Maria Chin pula menegaskan mahu bertanding pada PRU-14 atas tiket PKR dan masih belum memutuskan untuk menyertai parti pimpinan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu.

“Saya fikir inilah politik baharu. Anda tidak perlu menyertai sesuatu parti. Itu persoalan yang boleh kita bincangkan selepas pilihan raya,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu.

Dalam pada itu, Nurul Izzah pula berkata, Maria telah menjadi ahli PKR kerana mahu menggunakan logo PKR pada PRU-14 kelak.

“Saya hari ini ingin mengumumkan bahawa Maria Chin yang juga antara aktivis terkenal di Malaysia, akan menjadi sebahagian daripada keluarga PKR,” katanya pada sidang media yang sama.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa pula berkata, biar pun Maria bertanding hanya menggunakan logoPKR namun sekiranya beliau menang, maka kerusi berkenaan akan menjadi milik PKR.

“Jika dia menang, dia akan berdiri di Parlimen sebagai ahli Parlimen PKR,” jelas Sivarasa. -MalaysiaGazette.