KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) masih tidak dapat memproses pendaftaran Pakatan Harapan (PH).

Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, pihaknya masih tidak dapat meneruskan proses pendaftaran PH disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Pendaftaran Pakatan Harapan tidak dapat diproses disebabkan salah satu parti komponen yang menyertainya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Ia (PPBM) masih belum menjawab dan menyerahkan kepada RoS semua maklumat dan juga dokumen sepertimana yang dinyatakan di dalam notis mengikut Seksyen 14 (12) Akta pertubuhan 1966,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini RoS mengeluarkan notis 14(2) bersifat statutori kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh bertempoh 30 hari bermula 28 Februari lalu meminta parti itu menjawab dan menyerahkan kepada RoS semua maklumat serta dokumen minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti itu.

Malah kegagalan parti itu berbuat demikian dalam tempoh itu akan membolehkan notis pembubaran dikeluarkan sebagai tindakan lanjut dalam perkara tersebut.

Pada 22 Februari lalu, kira-kira 1,000 ahli PPBM berhimpun di hadapan Kompleks D, Putrajaya bagi mendesak ROS mengambil tindakan terhadap parti berkenaan. – MalaysiaGazette