LONDON – Pengasas gedung alat permainan terkenal dunia, Toys R Us, Charles Lazarus menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 94 tahun berikutan sakit tua di kediaman beliau awal pagi tadi.

Ironinya, Lazarus meninggal dunia sejurus selepas syarikat gergasi itu mengumumkan penamatan operasi mereka di Amerika Syarikat dan United Kingdom berikutan kerugian sehingga mengakibatkan kerugian berbilion riggit.

Lazarus yang menubuhkan Toys R Us pada tahun 1948 di AS terkenal dengan sikap rendah diri dan tidak popular kerana gemar bekerja di belakang tabir sehingga gedung permainan itu terkenal seluruh dunia.

Menurut Ketua EksekutifToys R Us, Michael Goldstein, pihaknya berdukacita dengan pemergian Lazarus yang telah banyak memainkan peranan penting bukan sahaja dalam syarikat tetapi membawa kebahagian kepada jutaan kanak-kanak seluruh dunia untuk beberapa dekad.

“Sejak akhir-akhir ini, Toys R Us telah diselubungi dengan pelbagai berita sedih tetapi kesedihan itu langsung tidak dapat dibandingkan dengan pemergian insan terpenting kita, Lazarus yang telah banyak memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita terutamanya syarikat ini.

“Beliau adalah ‘bapa’ perniagaan permainan kanak-kanak seluruh dunia selama ini, kita sampai ke tahap ini kerana hasil dedikasi serta usaha beliau. Hari ini adalah hari hitam buat kita,” katanya dalam kenyataan.

BBC melaporkan, sebanyak 735 kedai rangkaian Toys R Us di tutup manakala hampir lebih 33,000 kakitangannya hilang pekerjaan sejak pengumuman itu di buat.

Sejak 1948, Lazarus yang memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan dengan hanya sebuah kedai barangan penjagaan anak kecil ia kemudian berkembang menjadi salah satu jenama kanak-kanak yang paling dikenali di dunia.

Syarikat gergasi yang menjadi mangsa ledakan jualan runcit dalam talian mula mengalami kemerosotan sejak 1994 apabila Lazarus meninggalkan Toys R Us kerana masalah kesihatan.

Dalam satu temuramah beliau dengan majalah Entrepreneur di UK pada tahun 2008, beliau bercerita bagaimana dirinya mendapat idea untuk memulakan syarikat permainan ini selepas kepulangan kawan-kawan beliau dari perang.

“Ramai antara mereka mahu berkahwin dan melahirkan anak dan hidup bahagia. Ketika itu, tidak ada kedai permainan khas untuk kanak-kanak. Saya mendapat idea, saya kemudian menukar kedai basikal milik mendiang ayah saya kepada kedai permainan.

“Saya sengaja mengeja huruf ‘R’ dengan terbalik seolah-olah ianya di tulis oleh seorang kanak-kanak dan sehingga kini idea tersebut berjaya menarik perhatian jutaan orang.

“Saya mempunyai minat yang mendalam dalam dunia perniagaan dan saya juga amat menyukai kanak-kanak dan ingin memberikan sesuatu yang terbaik buat mereka, kerana itu saya membuka perniagaan ini,” ujarnya. – Malaysia Gazette