Petronas

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mengesahkan ia adalah salah sebuah pengeluar yang terlibat dalam cadangan TransCanada untuk meluaskan sistem saluran gas yang akan membuka lebih banyak pasaran untuk syarikat tenaga itu mengeluarkan gas di Kanada Barat.

Pengendali projek tersebut, TransCanda pada Februari berkata, ia akan meneruskan peluasan Jajaran Transmisi Gas Nova (NGTL) bernilai C$2.4 bilion (AS$1.9 bilion) yang memindahkan gas daripada Alberta dan British Columbia ke pasaran di seluruh Amerika Utara.

Dalam satu kenyataan yang diemel kepada Reuters, Petronas berkata, anak syarikatnya, Progress Energy Canada Ltd. adalah salah sebuah daripada 11 penghantar yang terlibat dalam permohonan TransCanada kepada regulator.

Sekiranya projek tersebut diluluskan, Petronas boleh membekalkan lebih banyak gas daripada aset British Columbia kepada NGTL yang menjadi pembekal kepada pasaran gas Kanada dan pasaran-pasaran utama lain di timur Amerika Utara, kata syarikat tersebut.

Tahun lepas, Petronas menghentikan rancangan untuk membina terminal eksport gas asli cecair (LNG) di British Columbia pada kos AS$29 bilion ekoran harga gas yang lemah di samping kelewatan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menurut syarikat minyak itu lagi, ia sentiasa mencari peluang untuk memperoleh pendapatan daripada aset-asetnya di British Columbia. – Agensi