Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani membeli daging lembu pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di PPR Cocrane Perkasa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Tidak guna bermegah diri dan mencanag nama sendiri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seandainya tidak mendapat tempat di hati rakyat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana hanya rakyat yang mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan kemenangan seseorang calon.

Menurut Menteri Kewangan II itu, mereka yang berhasrat mewakili suara rakyat perlu rajin ‘turun padang’ serta prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat terlebih dahulu.

“Saya pernah ulang ini banyak kali, pada saya, untuk menjadi wakil rakyat ini, kita perlu dekatkan diri dengan rakyat terlebih dahulu. Mereka perlu selesa dan suka dengan kita.

“Untuk mereka suka dan menerima kehadiran kita, pada dasarnya kita juga perlu dekat dengan mereka, perlu rajin turun padang dan dengar permasalahan mereka. Jangan hanya sekadar retorik dan hanya turun ketika musim pilihan raya sahaja.

“Kita perlu juga jaga amanat dan pikul tanggungjawab yang telah di amanahkan kepada kita terlebih dahulu. Rakyat perlu senang dan sayang terhadap kita. Jangan hanya berjanji dan muncul ketika pilihan raya sahaja. Rakyat yang mempunyai kuasa untuk memilih wakil rakyat mereka pada akhirnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ‘Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Titiwangsa’ sebentar tadi di perkarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cochrane di sini hari.

Tambah Johari, selaku Ahli Parlimen Titiwangsa beliau telah melakukan yang terbaik bagi setiap warga kawasan itu untuk menikmati yang terbaik terutamanya segala insentif kerajaan diberikan kepada rakyat.

“Komitmen saya dengan warga Titiwangsa malah setiap rakyat di negara ini tidak pernah kurang dan akan lakukan yang terbaik. Penduduk di kawasan ini juga tidak pernah berhenti memberikan sokongan mereka terhadap saya selama ini,” katanya.

Baru-baru ini, Johari berdepan dengan tindakan sabotaj dari pihak tertentu yang bertindak menggantung kain rentang  tertera ‘Saya No!! To DJ’ dan ‘kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ.

Kain rentang yang tersebar menerusi laman sosial dikhabarkan digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat yang merupakan sebahagian daripada kawasan dalam Parlimen Titiwangsa.

Namun pada masa yang sama, pelbagai pihak termasuk akar umbi UMNO tampil memberikan sokongan kepada beliau.

Pada program Sentuhan Rakyat yang dihadiri Johari hari ini dihadiri lebih 2,000 penduduk setempat.

Pelbagai barangan kegunaan harian termasuk tepung, gula, beras, minyak masak selain barangan basah seperti cili dan juga sayur-sayuran yang dijual pada harga serendah RM2, menarik perhatian para pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang membeli barangan keperluan yang dijual.

Menurut Johari, program siri kelima itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan selain menjimatkan masa serta mudah didapati.

“Program ini bukti komitmen kerajaan dalam membantu penduduk membeli barang keperluan harian pada harga berpatutan di samping menjimatkan masa mereka tanpa perlu berkunjung ke pasar raya.

“Barangan ditawarkan juga berkualiti dan segar, maka usaha ini bertepatan bagi membantu mengurangkan kos belanja harian setiap warga,” katanya.

Sejumlah 20 khemah jualan dibuka untuk orang ramai membeli pelbagai barangan yang ditawarkan seperti minyak masak, gula, tepung selain ayam, daging dan ikan segar dijual lebih rendah berbanding harga pasaran. – MalaysiaGazette