Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

SERI KEMBANGAN – Pas telah menyelesaikan hampir 90 peratus pemilihan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kesemua calon yang dipilih disaring daripada pelbagai aspek termasuk perkara peribadi.

“Kita boleh umum calon kita pada bila-bila masa. Kita tak perlu ikut orang lain, kita ada cara kita sendiri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Abdul Hadi, Pas sangat teliti dalam memilih calon yang akan bertanding dalam PRU nanti.

“Orang yang nak dibawa untuk masuk bertanding (dijadikan calon) dalam Pas ini payah, sebab orang tahu tanggangjawab jadi calon Pas ini besar dan kerana itulah kita percaya dengan calon-calon ini,” ujarnya.

Terdahulu, Abdul Hadi menyampaikan amanat di hadapan 2,000 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara yang menyertai Konvensyen Mahasiswa Malaysia (KMM) 2018 di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ) di sini.

Konvensyen anjuran Pemuda Pas Malaysia, bermatlamat menghimpunkan mahasiswa dalam satu majlis diskusi ilmu bagi memberi kesedaran berkenaan isu-isu didepani umat Islam.

Selain itu, KMM dijadikan sebagai medium bagi mahasiswa berinteraksi dan bertukar idea dalam menyebar luas fahaman Islam dan bersama mengukuhkannya.

Dalam pada itu, ketika menjawab salah satu daripada soalan peserta konvensyen, Abdul Hadi yang pernah menyandang jawatan Naib Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menegaskan, Pas mengambil pendekatan lawan dan tidak lawan terhadap pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Katanya, meskipun terdapat dalam pimpinan Pakatan Harapan menuduh Pas dan mengaitkan parti itu dengan BN namun, pendekatan demokratik digunakan dalam setiap hujah secara damai.

“Kita tak cakap semua yang kerajaan buat itu tak betul, ada yang betul. Yang betul kita sokong, buat jalan raya, buat MRT kemudahan pengangkutan untuk rakyat, bantu rakyat miskin, kita sokong dan ia wajib disokong.

“Sebab itu di Parlimen kita berbahas dan ada cara huraian yang kita sokong dan tidak sokong. Perkara yang kita sokong kita sahut tapi bagi yang tidak kita huraikan.

“Kalau tidak kita akan lakukan (bantah) pada pilihan raya. Kita bertanding di semua tempat dan Pas turut tempatkan calon di kawasan yang bukan Islam,” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, Pas tidak seperti Pakatan Harapan yang memilih-milih untuk meletakkan calon untuk bertanding dalam PRU.

Langkah itu, katanya, dilakukan Pas secara matang dan apa yang penting undi Melayu tidak berpecah.

“Walau kita berbeza pendapat, Melayu tidak bergaduh, tidak berpecah. Kita berlawan dengan tidak menimbulkan ketegangan. Itulah cara politik yang matang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette