Fuzi
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh suspek disyaki pengganas yang dipercayai merancang untuk melancarkan serangan keganasan dalam masa terdekat telah berjaya ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menurut Ketua Polis Negara,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan hari ini, ketujuh-tujuh suspek di tangkap antara 27 Februari sehingga 15 Mac lepas dalam beberapa serbuan di Johor dan Sabah.

Jelas beliau, seramai enam suspek yang juga merupakan lelaki tempatan dipercayai dari sel kumpulan pengganas DAESH merancang untuk melancarkan serangan di rumah ibadat bukan Islam selain menculik dan membunuh anggota polis.

“Kita berjaya menangkap tiga suspek yang berusia antara 30 hingga 49 tahun pada tangkapan pertama di Johor. Suspek utama yang merancang serangan merupakan seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta.

“Dua lagi suspek pula bekerja sebagai pengawal keselamatan yang berperanan sebagai penasihat selain daripada terlibat dengan urusan pembelian senjata api dari negara jiran.

“Kesemua mereka juga merancang untuk melarikan ke negara jiran bagi mendapatkan perlindungan dengan kumpulan pengganas sebaik berjaya melancarkan serangan,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, PDRM kemudian melancarkan operasi susulan antara 28 Februari hingga 1 Mac yang membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek dari kumpulan yang sama.

“Tangkapan kedua pula 28 Februari membabitkan suspek keempat berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pelayan kafe. Dia disyaki menerima arahan daripada suspek utama kita.

“Tangkapan berikutanya pada 1 Mac lalu membabitkan dua suspek bekerja sebagai tukang cuci di Singapura yang salah seorangnya merupakan orang tengah dalam urusan jual beli senjata api,” ujar beliau.

Operasi di Sabah pada 15 Mac lepas pula, PDRM berjaya menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 31 tahun yang merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf.

“Suspek lelaki ini adalah anggota kanan kepada Furuji Indama iaitu ketua kumpulan Abu Sayyaf Group di Basilan Selatan dan pakar menghasilkan bahan letupan IED.

“Dia juga mempunyai hubungan dengan Dr Mahmud Ahmad iaitu rakyat Malaysia yang menyertai Daesh di selatan Filipina dan disenarai sebagai orang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana terbabit kes Penculikan Untuk Wang Tebusan (KFR) selain beberapa siri cubaan bunuh.

“Suspek juga merancang untuk melancarkan serangan di Sabah serta menjadikan Sabah sebagai lokasi persembunyian atau Safe Haven bagi pengganas dari Filipina,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – MalaysiaGazette