Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan bergambar dengan motosikal milik baginda bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pelancaran Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Sultan Iskandar berkenan memberi cadangan agar terma ‘mat rempit’ di tukar kepada ‘brother motor’ pada masa akan datang.

Baginda bertitah, cadangan itu sebenarnya bagi mengubah persepsi masyarakat yang menganggap perkataan mat rempit bersifat negatif, malah menganggap kumpulan ini sebagai bermasalah dan mengamalkan budaya gasterisme.

Titah baginda, perkataan mat rempit bunyinya seperti sampah masyarakat selain menggambarkan samseng jalanan bermotosikal.

“Imej mereka harus diubah kepada lebih berdisiplin dan berhemah. Saya mahu mencadangkan kepada kerajaan menukar nama mat rempit kepada brader motor,” titahnya.

Titah baginda turut mendapat tepukan gemuruh ribuan hadirin rata-ratanya adalah penggemar motor dan kereta.

Baginda bertitah demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Bike Week 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang Malaysia (Maeps) di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan supaya semua penunggang motosikal berhati-hati di jalan raya dan mengikut peraturan lalu lintas seperti yang ditetapkan.

Titah baginda, sedikit kecuaian boleh menyebabkan kecederaan parah dan juga kemalangan maut yang akan menyebabkan kekecewaan sepanjang hayat.

“Saya mohon supaya sebelum naik motosikal, baca doa minta selamat sepanjang perjalanan. Saya perhatikan banyak kes kemalangan membabitkan anak muda yang terlalu berani menunggang ikut perasaan.

“Ibu bapa juga perlu bersikap tegas dengan menjaga tingkah laku anak-anak. Jangan benarkan kalau mereka tiada lesen. Biar dia menangis sekarang dan jangan kita nangis kemudian,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Johor turut mengingatkan ahli politik agar berhati-hati ketika berkempen pada pilihan raya yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Titah baginda, ahli politik perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berikutan negara majmuk ini diduduki oleh pelbagai laposan masyarakat.

“Jangan berkata sesuatu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum atau individu ketika berkempen nanti. Jaga perasaan mereka, “ tegas baginda.

Sebanyak 30 kenderaan koleksi peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang terdiri daripada trak, kereta klasik, kenderaan pacuan empat roda serta motosikal berkuasa tinggi dipamerkan pada Bike Week 2018.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung akan menghadiri acara yang bermula semalam hingga esok.

Bike Week 2018. merupakan cetusan idea Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Eksekutif GPMOTO.

Matlamat utamanya adalah mengumpul semua peminat motosikal daripada pelbagai kategori termasuk superbike, easy rider, kapcai, klasik dan vespa sekali gus merapatkan hubungan dalam komuniti penunggang motosikal. – MalaysiaGazette