Home Utama MH370 terjunam di Sumatera Utara?

MH370 terjunam di Sumatera Utara?

KUALA LUMPUR – Pesawat misteri MH370 yang hilang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac empat tahun lalu disyaki terhempas di Sumatera Utara.

Dakwaan itu dibuat oleh Petugas Perisikan Antarabangsa bagi Pencarian MH370 yang disertai 14 buah negara selepas mendapat data terkini serta saksi-saksi yang telah memberi kenyataan yang dipercayai boleh digunakan.

Lantaran itu, Datuk Dr George Jacob yang mewakili badan bebas itu meminta 14 buah negara yang kehilangan warga negara mereka menimbang untuk membantu memulakan siasatan di lokasi baru yang dinyatakan.

Beliau yang kini berada di Sumatera Utara berkata, pihak petugas itu telah berjumpa dengan saksi-saksi yang mendakwa melihat kejadian tersebut.

Malah, saksi-saksi berkenaan memberi afidavit sumpah telah melihat pesawat malang itu pada waktu pagi pada hari kehilangannya.

Menurut beliau, seramai saksi mendakwa ternampak sebuah pesawat tanpa bunyi enjin dengan asap hitam tebal berkepul-kepul dan terbang dalam keadaan terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan sebelum terhempas di selatan Lautan Hindi kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan.

Berdasarkan cerita-cerita saksi, pesawat itu didakwa terus tenggelam sebaik sahaja terjunam, kata George kepada MalaysiaGazette.

Pesawat tersebut didakwa berada kira-kira 60 meter dari laut semasa ia terjunam.

Apabila mereka tiba dan berada di kawasan itu selama dua hari, saksi-saksi masih dapat melihat asap hitam di perairan yang dipercayai menjadi lokasi terakhir MH370.

Dr. Jacob George

Bagaimanapun, saksi-saksi tidak nampak ada badan manusia atau serpihan yang timbul.

Tetapi, mereka telah merekodkan urutan kejadian dan bacaan sistem pengesanan global (GPS), membabitkan bayangan badan pesawat yang menjunam ke dalam laut.

George berkata, memandangkan saksi-saksi hanya menggunakan kapal menangkap ikan tanpa sonar berteknologi tinggi atau peralatan teknikal semasa berada di situ, mereka terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk memaklumkan kehilangan pesawat MH370.

Saksi-saksi mendakwa telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan dan Malaysia termasuk media antarabangsa yang berjanji untuk membantu, namun sehingga hari ini tidak ada komunikasi atau maklum balas selanjutnya.

George berkata, tidak mahu menanggung malu, akhirnya saksi-saksi mengambil sikap berdiam diri sehingga mereka dikesan oleh badan bebas itu.

Semasa insiden itu berlaku, pesawat MH370 membawa 239 orang penumpang termasuk anak kapal.

Operasi mencari jawapan ke atas misteri kehilangan pesawat berkenaan merupakan yang terbesar dan paling mahal dalam sejarah industri penerbangan.

Misi yang diketuai oleh Australia telah menjelajah Lautan Hindi lebih dari 46,000 batu persegi dengan kos melebihi AS$160 juta, membabitkan kapal dan pesawat.

Selama 1,046 hari operasi berkenaan diakhiri tanpa apa-apa hasil dan hanya baru-baru ini operasi mencari MH370 dijalankan semula oleh syarikat penerokaan dasar laut, Ocean Infinity Limited dengan kaedah ‘jumpa dulu, baru bayar’. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.