Ustaz Wadi Annuar (tengah) kelihatan kurus dan belum sihat sepenuhnya semasa di Madrasah Darul Atiq baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – “Saya termenung..Seronok ke nak hidup (balik) di dunia ini?

“Saya tak kuat, saya (sebenarnya) tak teringin dengan dunia ini sejak sebelum kemalangan lagi,” itu ungkapan Ustaz Wadi Annuar.

Beliau menceritakan semula apa yang ada dalam fikirannya ketika mendengar kata-kata semangat saudara dan rakan-rakannya yang melawatnya di hospital sebelum ini.

Beliau berkata demikian dalam tazkirah pertamanya di Madrasah Darul Atiq di Kuala Kubu Bharu dekat sini selepas keluar dari hospital selepas dirawat kerana patah bahu kanan dalam satu kemalangan jalan raya di Perak pada 3 Januari lalu.

Rakaman video itu dibuat pada minggu lepas.

Bagaimanapun, Ustaz Wadi kemudiannya menegaskan, keinginannya tidak mahu kembali hidup di dunia itu bukanlah mahu menggalakkan orang Islam bercita-cita untuk mati cepat namun lebih sebagai pengajaran kepada mereka dalam soal memandang kehidupan di dunia.

“Saya nak bagitau, ia cara memandang kehidupan dunia bukan kata sila bercita-cita untuk mati.. (ia cara) untuk membuang dunia dari hati,” jelasnya.

Dalam kemalangan sebelum itu, Ustaz Wadi cedera manakala seorang lagi pendakwah muda, Ustaz Murtadha meninggal dunia.

Selain itu, Ustaz Wadi juga menceritakan doktor yang merawatnya hairan kerana dia tidak koma seperti pesakit yang biasa mengalami kemalangan melibatkan kecederaan di kepala yang banyak kehilangan darah.

“Air (darah) turun sehingga mengalir keluar..saya patut koma tapi Allah bagi sedar boleh cakap walaupun tidak dapat mendengar ketika itu,” katanya sambil berharap orang ramai mendoakan pembedahan yang perlu dihadapi nya.- MalaysiaGazette

Ustaz Murtadha meninggal dunia