Home Utama Pelaburan asing bukan jual negara – PM

Pelaburan asing bukan jual negara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah (kiri) meluangkan masa melawat gerai pameran yang terdapat pada InvestKL Annual Ministerial Event 2018 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pelaburan langsung bukan bermaksud kerajaan menjual kedaulatan kepada negara asing.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, tanggapan itu cuba digembar-gemburkan seorang ‘individu tua’ untuk menakutkan rakyat.

Padahal jelas beliau, faktor pelbagai yang dimiliki menyebabkan pelaburan langsung asing berminat datang ke Malaysia yang secara jelas menggambarkan ekosistem negara menjadi tarikan utama.

“Bakat rakyat tempatan yang mampu mendepani industri 4.0 dan dunia digital turut menjadi faktor penyumbang.

“Senario ini menunjukkan kerajaan berada di landasan yang tepat dan bertentangan dengan manifesto parti pembangkang.

“Apatah lagi badan penarafan Fitch meramalkan manisfeto itu mampu melemahkan persekitaran perniagaan negara kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tahunan InvestKL Peringkat Menteri di Pusat Pameran dan Persidangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Pada majlis, beliau turut merasmikan program Bakat Global Malaysia (MGT) yang merupakan kerjasama TalentCorp dan InvestKL.

Sementara itu, Najib berkata, kerajan menyasarkan sebanyak RM200 bilion pelaburan langsung asing dan RM80 juta bakal diluluskan pada tahun 2018.

Beliau memberitahu, sekali lagi InvestKL melaksanakan peranan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjadi tonggak penting dalam mempromosi dan memudahkan pelaburan tersebut.

“Dua perbadanan ini telah berjaya menarik 73 syarikat multinasional utama dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM11 bilion sekaligus menawarkan hampir 11,000 nilai dan kemahiran tinggi peluang pekerjaan.

“Syarikat multinasional utama ini datang dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, China dan Jepun iaitu antara negara yang dapat disebut melibatkan pelbagai sektor minyak dan gas, kejuruteraan dan pembinaan, ruang angkasa, peruncitan dan produk industri,” katanya. – MalaysiaGazette