Home Ekonomi KDNK Turki berkembang lebih pantas dari China, India

KDNK Turki berkembang lebih pantas dari China, India

ANKARA- Ekonomi Turki berkembang lebih pantas berbanding China dan India pada 2017 didorong oleh perbelanjaan isi rumah dan kerajaan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh 7.4 peratus tahun lepas dengan output suku keempat meningkat 7.3 peratus, demikian menurur Turkstat.

Turki berjaya pulih daripada kelembapan ekonomi selepas cubaan rampasan kuasa tentera pada Julai 2016 gagal dan seterusnya menjadi salah sebuah negara paling pantas berkembang dalam kelompok G20.

Trend tersebut dilihat akan berterusan tahun ini, kata Ketua Pakar Ekonomi Ozlem Yetkin, Aktif Yatirim Bankasi, isi rumah terus berbelanja untuk membeli peralatan, makanan sehinggalah penjagaan kesihatan.

Sebagai perbandingan, ekonomi China berkembang sebanyak 6.9 peratus manakala India 7.1 peratus tahun lepas.

Bagaimanapun, pertumbuhan pantas Turki mengundang amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengatakan jurang akaun semasa negara tersebut mungkin melebar disebabkan permintaan domestik yang kukuh serta harga minyak yang semakin tinggi.

Paras defisit pula dipantau rapat oleh para pelabur kerana Turki sangat bergantung kepada aliran masuk modal untuk membiayai negara tersebut menyebabkan ekonominya sangat terdedah kepada sebarang perubahan sentimen secara mendadak.

Jurang dijangka melebar kepada 5.2 peratus daripada KDNK tahun ini berbanding 5.2 peratus pada 2017 yang mana ia akan menjadikannya tertinggal jauh di belakang negara-negara G20 yang lain, demikian ramalan pakar-pakar ekonomi yang dikumpulkan Bloomberg.

Penggunaan isi rumah di Turki merangkumi dua pertiga daripada ekonomi dan secara tradisinya adalah pemacu pertumbuhan negara, meningkat 6.6 peratus pada suku keempat berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perbelanjaan awam terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan meningkat sebanyak 7.4 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

Eksport barangan dan perkhidmatan berkembang sebanyak 9.3 peratus sejak tiga bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu manakala import meningkat sebanyak 22.7 peratus.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast