Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan beramah mesra bersama pengamal media dari Malaysia Gazette pada Majlis Silaturrahim PPIM bersama media dan rakan strategik di Restoran D'Anis Putri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Nadzim Johan menafikan cakap-cakap sumbang berhubung tindakan Yusuf Azmi keluar daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ada kaitan dengan adik lelakinya.

Sebaliknya, beliau yang juga ketua aktivis persatuan tersebut menegaskan, langkah Yusuf meninggalkan PPIM adalah di atas kerelaannya sendiri dan bersifat peribadi.

“Tidak ada kena mengena perkara itu dengan Yusuf yang telah keluar daripada PPIM ini. Dia membuat keputusan itu dengan rela hati,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nadzim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuduhan di netizen di media sosial bahawa langkah Yusuf keluar daripada PPIM baru-baru ini ada kaitan dengan adiknya.

Yusof memberitahu beliau keluar dari PPIM pada Selasa lalu.

Timbul dakwaan tindakan Yusuf itu bagi menutup skandal adiknya yang mempunyai jawatan di dalam PPIM serta turut menggunakan kedudukannya untuk meraih sesuatu.

Terdahulu, Nadzim bersama anggota PPIM meraikan rakan media dan rakan strategik pada majlis silaturahim yang diadakan di sebuah restoran di sini.

Dalam pada itu Nadzim menegaskan, persatuan tersebut telah menempuh pelbagai onak dan duri sepanjang penubuhannya.

Katanya, semua cabaran terutamanya melibatkan tuduhan sudah menjadi asam garam dalam perjuangan selama ini.

“Kita anggap semua ini (tuduhan) sebagai satu pengalaman dan tetap akan meneruskan matlamat untuk membantu orang ramai.

“Ini mungkin ujian daripada perjuangan yang kita lakukan, apa yang penting kita kena lakukan apa yang dibuat dengan bijaksana,” ujarnya. – MalaysiaGazette

‘Tolong kucing lebih baik daripada orang’ – Yusuf Azmi