E-book Bebas Hutang kini berada di pasaran.

KUALA LUMPUR – Golongan individu yang memiliki masalah hutang kini mampu menarik nafas lega apabila terdapat buku digital atau e-book yang mampu membebaskan mereka daripada belenggu kewangan itu.

Pengasas e-book tersebut, Dr. Badrul Hisham Mohd. Yusoff berkata, e-book bertajuk Bebas Hutang itu telah berada di pasaran sejak enam bulan lalu dan berjaya dijual di atas talian (online) sebanyak 1,800 unit.

Beliau yang juga perancang kewangan bertauliah berkata, e-book keluaran IHB Solutions itu ditulis dengan bahasa yang mudah untuk difahami semua lapisan masyarakat.

“Antara ilmu pengetahuan yang pembeli akan perolehi dari e-book ini apabila dapat mengenal jenis hutang baik dan hutang jahat serta panduan perancangan kewangan yang baik.

“Selain itu, ia juga akan menunjukkan teknik menyelesaikan hutang dengan segera dan tips menyelesaikan hutang dengan cepat bagi hutang sehingga RM50,000.

“Bagi saya, cukup-cukuplah berhutang dan sebenarnya bukan tidak ada jalan penyelesaian. Saya yakin mereka yang dibelenggu masalah hutang akan rasa penat asyik dicari oleh pemiutang dan bank serta sentiasa diburu rasa takut dan hidup tidak aman,” katanya sambil memberitahu harga e-book itu adalah RM45.90.

Dr Badrul Hisham juga merupakan Pengarah Urusan Firma Badrul & Co dan pakar dalam bidang kewangan dan hartanah.

Dalam pada itu, Badrul Hisham menyarankan rakyat Malaysia memberi fokus kepada hutang sihat dalam usaha menjana kekayaan pendapatan pada masa depan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Firma Badrul & Co berkata, contoh hutang sihat adalah dengan menggunakan pinjaman untuk menambah aset, mengembangkan perniagaan, pembelian saham dan sebagainya.

Jelasnya, tidak kira apa yang masyarakat beli, pastikan ia boleh menjana lebih banyak wang masuk ke dalam poket mereka.

“Secara umumnya hutang ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu hutang sihat dan hutang tidak sihat. Hutang sihat akan menjadikan anda lebih kaya, manakala hutang tidak sihat akan menjadikan anda semakin miskin.

“Oleh itu, masyarakat perlu fokus kepada hutang sihat. Namun hutang sihat bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi.

“Kebiasaannya, pihak bank lebih mudah memberi pinjaman untuk membiayai hutang tidak sihat berbanding hutang sihat.

“Contohnya anda lebih mudah mendapat pinjaman untuk membeli kereta, membeli motosikal berkuasa tinggi, memiliki kad kredit, pinjaman peribadi, skim ansuran mudah dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Badrul Hisham menambah, sekiranya masyarakat cuba memohon pinjaman untuk mengembangkan perniagaan atau membeli hartanah untuk pelaburan, ia amat sukar.

Jadi katanya, tidak hairanlah mengapa ramai yang memilih untuk membuat pinjaman untuk membiayai hutang tidak sihat.

“Terlalu banyak hutang tidak sihat biasanya akan lebih menyukarkan peminjam mendapatkan pinjaman untuk membiayai hutang sihat.

“Contohnya sekiranya anda mempunyai banyak hutang kad kredit, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya, kemungkinan besar anda sukar mendapatkan pinjaman untuk mendapatkan modal perniagaan dan juga pembelian hartanah untuk pelaburan,” katanya.

Badrul memiliki pengalaman luas dalam bidang hartanah, pengurusan kewangan, khidmat latihan dan perbankan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pengurusan kanan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi kewangan termasuk Bursa Malaysia sebelum menguruskan firma Badrul & Co secara sepenuhnya.

Untuk maklumat lanjut, pembaca boleh melayari Facebook beliau iaitu Dr. Bad Yusoff. – MalaysiaGazette