Pengasas D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri (kiri) dan isteri Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid (kanan).

PETALING JAYA – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman enggan mendedahkan kos mahligainya iaitu Aliff Syukri Palace kerana tidak mahu dianggap riak.

Beliau menjelaskan, selama ini beliau dikecam selama ini gara-gara sering memaparkan video di laman sosial yang disalah anggap sebagai ingin menunjukkan kemewahan.

Justeru, Aliff Syukri berpendapat, mahligainya itu adalah impian peribadi yang bermula sejak 22 tahun lepas kerana pernah tinggal di flat dan rumah setinggan.

“Saya sudah puas kejar harta dunia dan selalu berdoa agar Allah tidak ambil nyawa saya dalam keadaan kufur.

“Apa yang saya mahu lepas ini agar meninggal dunia dalam keadaan beriman dan tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan media di mahligainya itu di Kota Damansara di sini petang tadi.

Ruang hadapan kediaman milik Pengasas D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri di Aliff Syukri Palace, Selangor Polo Club Resident, Kota Damansara, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 APRIL 2018.

Aliff Syukri Palace yang dibeli pada tahun 2015 asalnya adalah empat lot banglo.

Banglo tersebut itu kemudiannya diruntuhkan untuk dibina semula sebagai mahligai.

Seluas 4,000 kaki persegi, mahligai itu memiliki 30 bilik, surau, gimnasium, bilik kebal dan bilik kucing kesayangan.

Tingkat bawah tanah turut mempunyai bilik dan kawasan parkir seluas lapan kereta.

Aliff Syukri menambah, jumlah rekaaan dalaman mahligainya itu mencecah RM1 juta.

Jelas beliau, perabot-perabot pula dibeli di luar negara seperti Portugal, Itali, Sepanyol dan China.

“Saya merancang menjual semua perabot selepas enam bulan pakai kerana saya jenis bosan. Jadi mahligai ini juga akan menjadi pusat menjual perabot pada masa akan datang.

“Sebenarnya hobi saya adalah menghias rumah dan sumber ilham mahligai hasil idea melawat ke luar negara sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette