Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersalaman dengan orang ramai pada pada Majlis Minggu Halal Sedunia (WHW) 2018 di Grand Ballroom, Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasar memastikan industri halal tempatan yang kukuh dan pelbagai pada masa hadapan dan menjadikannya sebagai penyumbang ekonomi utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan satu ekosistem menyeluruh yang dapat mengekalkan pengembangan pesat industri halal tempatan.

Ahmad Zahid berkata sebagai peneraju industri halal global, Malaysia menerusi Majlis Halal Malaysia mempunyai perancangan besar bagi pasaran dunia, yang mana satu daripadanya adalah menubuhkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa.

“Kita merancang menghimpunkan bersama-sama pihak berkuasa halal seluruh dunia, untuk menyelaraskan prosedur yang melibatkan pengeluaran persijilan halal.

“Kita juga sedang dalam proses menubuhkan akademi penyelidikan halal antarabangsa, yang pertama seumpamanya di rantau ini,” katanya dalam ucap tama beliau semasa merasmikan Minggu Halal Dunia (WHW) 2018, di sini, hari ini.- BERNAMA