BARISAN Nasional (BN) dan blok pembangkang, Pakatan Harapan  (PH) dilihat mempunyai peluang sama banyak untuk menang di Kedah.

Bagaimanapun dijangka akan wujud pertembungan sengit ditambah pula dengan pengaruh Pas di Negeri Jelapang Padi tersebut.

Sejak dibawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah beberapa isu tertangguh yang gagal diselesaikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dapat ditangani dengan baik.

Malah kempen Muafakat Kedah yang diperkenalkan juga sedikit sebanyak dapat membendung pengaruh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Azizuddin Mohd. Sani berkata, BN dan PH mempunyai peluang sama rata.

Bagaimanapun, sekiranya Pas berjaya memecahkan undi di Kedah bermakna kerajaan sedia ada akan masih dapat dipertahankan.

“Sebenarnya agak mencabar untuk BN dan PH menang di Kedah ini… tidak dinafikan pengaruh Mukhriz dan Mahathir memang ada namun kita tidak boleh pandang remeh tentang kekuatan Pas dan pengaruhnya di Kedah.

“Jika mereka berjaya pecah undi semasa pilihan raya umum nanti bermakna kerajaan sedia ada iaitu BN akan kekal mentadbir,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Jelas Azizuddin, BN khususnya UMNO di Kedah perlu mengekalkan kesatuan mereka dalam parti dan mengelakkan perpecahan terutamanya apabila ada yang tidak tercalon dengan tidak melakukan sabotaj.

“UMNO dan BN kena cuba elak isu dalaman seperti calon dan sebagainya jika mereka mahu turun dengan kuat untuk melawan pembangkang… ketika ini mood rakyat di sini berbelah bahagi untuk memilih antara Mahathir dan BN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, peranan dan beberapa pelan tindakan diperkenalkan oleh pentadbiran Ahmad Bashah seperti Muafakat Kedah dan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) menjadi langkah paling berkesan dalam menarik sokongan pengundi di Kedah kerana ia dilihat menjaga kebajikan rakyat dan pada masa sama membawa mesej tentang pentingnya perpaduan dikalangan rakyat di negeri tersebut.

“Impak daripada langkah diperkenalkan kerajaan negeri ini memang ada… tapi untuk terjemah dalam kalangan pengundi itu jadi persoalan kerana faktor isu-isu nasional juga ada impaknya kepada rakyat.

“Bagaimanapun, sekurang-kurangnya kerajaan negeri masih ada mengambil inisiatif untuk menjaga dan melihat kebajikan rakyat yang terjejas dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dari Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kesinambungan antara kerajaan negeri dan peringkat pusat memainkan peranan penting dalam membawa pembangunan di Kedah.

Justeru, katanya, rakyat perlu menilai tentang apa yang terbaik untuk kesejahteraan semua, bukan hanya kerana kepentingan seorang individu sahaja.

“Saya melihat jika mempunyai satu pasukan pentadbiran dan pasukan pentadbir DUN dan Parlimen mempunyai suara senada dan seirama memudahkan lagi untuk kita membantu rakyat.

“MB ada sebut tadi ada beberapa kawasan yang masih ketinggalan daripada sudut infra dan juga bukan itu sahaja rumah penginapan, saya juga melihat perkara sama… oleh itu jika saya melihat satu set pengurusan pentadbiran seirama di Parlimen, akan ada lebih memudahkan lagi rakyat menyalurkan maklumat dan pembangunan di Kedah,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Mukhriz dakwanya gagal menyatupadukan UMNO di bahagian dan cawangan dan bekas Menteri Besar itu juga didakwa tidak berpengalaman dan tidak layak menerajui UMNO di negeri itu semasa menerajui Kedah.

 

Bagi Azizuddin, pengundi Kedah kini masih belum membuat keputusan dan mengambil pendekatan tunggu serta lihat sebelum membuat keputusan sama ada mengekalkan kerajaan sedia ada atau pun mengulangi episod tahun 2012 di mana mereka memberi mandat kepada Pas memerintah.

“Setakat ini pengundi Kedah masih tunggu dan lihat, mereka belum memberi reaksi jelas untuk menyokong sama ada PH atau pun BN,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette