KUALA LUMPUR – Standard Chartered Bank Malaysia dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) menandatangani Perjanjian Jaminan Portfolio yang membolehkan bank tersebut menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ini merupakan bahagian kesembilan yang telah dimeterai di antara Standard Chartered dengan CGC yang mana sejumlah RM75 juta kemudahan disediakan dengan matlamat utama untuk menyediakan modal kerja dan pengambilan alih aset PKS.

Jumlah maksimum pinjaman di bawah jaminan portfolio ini adalah RM1.5 juta bagi setiap syarikat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar Anwar berkata, ia merupakan bank pertama di Malaysia yang memeterai Perjanjian Jaminan Portfolio dengan CGC pada 2009 kerana mereka percaya PKS adalah pemain utama kejayaan sesebuah negara.

“Kami bangga kerana dapat terus menyokong pertumbuhan PKS dengan memiliki lebih 260,000 pelanggan di seluruh dunia yang menyumbang 11 peratus kepada pendapatan perbankan runcit kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perjanjian tersebut dimeterai oleh Ketua Negara Perbankan Runcit Standard Chartered Malaysia, Aaron Loo dan Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Leong Weng Choong sambil disaksikan Abrar dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak. – MalaysiaGazette