Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengibarkan bendera BN bersama penyokong-penyokong BN pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Berita baik untuk penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia, (BR1M) apabila inisiatif itu akan diteruskan dalam Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar baharu pemberian BR1M dinaikkan sehingga 100 peratus.

“Isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, pemberian BR1M bagi Jun dan Ogos 2018 sebanyak RM400 akan digandakan kepada RM800,” katanya ketika mengumumkan Manifesto BN di Axiata Arena malam ini.

Najib berkata, kenaikan itu juga melibatkan penerima BR1M yang menerima bayaran RM1,200 pada dinaikkan kepada RM2,000 kepada mereka yang mempunyai isi rumah di bawah RM3,000 sebulan ke bawah.

“Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, pemberian BR1M pada Jun dan Ogos sebanyak RM300 akan digandakan kepada RM600. Bermakna jumlah pemberian tahun ini meningkat dari RM900 kepada RM1,500,” katanya.

Selain mereka yang berkeluarga, individu bujang turut tidak terkecuali daripada mendapat manfaat itu di mana mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang menerima RM450 pada masa ini mendapat bayaran tambahan sebanyak RM150 menjadikan RM650.

Najib turut mengumumkan kategori baharu bagi penerima BR1M kepada golongan isi rumah yang berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Malam ini saya ingin umumkan kategori baharu penerima BR1M iaitu isi rumah di mana mereka akan menerima bantuan sebanyak RM700 yang akan dibayar dua kali pada Jun dan Ogos 2018,” katanya.Katanya lagi, Manifesto BN turut memperkenalkan bantuan “one-off” RM1,500 yang diberikan kepada anak penerima BR1M yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette.