KLCC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mengurangkan defisit fiskal dan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan antara komitmen Barisan Nasional dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ia menjadi teras kedua bagi Kemampanan dan Kemakmuran Ekonomi Negara.

Pada bulan lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hutang negara berada pada kedudukan 50.9 peratus atau RM680 bilion daripada saiz ekonomi negara yang berjumlah RM1.3 trilion dengan pendapatan lebih kurang sebanyak RM240 bilion.

Barisan Nasional juga mahu menyemak semula kadar cukai pendapatan individu dan korporat bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam pasaran serantau.

Dalam Bajet 2018, kerajaan mengumumkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan daripada dua mata peratusan membabitkan kira-kira 2.3 juta pembayar cukai.

Pengurangan cukai itu akan dinikmati oleh golongan pendapatan pertengahan (M40) atau isi rumah berpendapatan RM9,000 ke bawah, meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara RM300 hingga RM1,000.

Selain itu, manifesto BN turut memberikan komitmen untuk mewujudkan sejuta usahawan digital dalam tempoh lima tahun dan mensasarkan sumbangan ekonomi digital sebanyak 25 peratus kepada KDNK menjelang 2023.

Selain itu, BN turut menyasarkan sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 60 peratus kepada KDNK.

Pada tahun lalu, sektor tersebut menyumbang sebanyak 54.5 peratus daripada KDNK.

Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), 2016-2020, sektor perkhidmatan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Antara penyumbang utama pertumbuhan adalah dalam bidang perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan kewangan dan komunikasi dimana ia akan disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan keadaan pasaran pekerja yang stabil. – MalaysiaGazette