KUALA LUMPUR- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan dinaiktaraf kepada Universiti P. Ramlee sekiranya Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat mentadbir negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan manifesto pilihanraya umum ke-14 parti berkenaan berkata, Universiti P. Ramlee ditubuhkan bagi menjadi pemacu industri kreatif dan kebudayaan di Malaysia.

Manifesto BN kali ini banyak memberi manfaat kepada penggiat-penggiat seni dan budaya negara antaranya mewujudkan dana kebajikan sebanyak RM10 juta untuk membantu kumpulan budaya dan industri kreatif.

BN juga berjanji untuk menilai semula bajet produksi dan pengisian untuk stesen-stesen televisyen swasta.

Selain itu, insentif cukai individu sebanyak RM1,000 setahun diberikan kepada mereka yang menyumbang ke arah pemerkasaan seni budaya negara.

BN juga akan menyediakan geran sebanyak RM5 juta setiap lima tahun kepada penggerak badan warisan manakala dana sebanyak RM3 juta diberikan setiap lima tahun kepada Tabung Kebajikan Penggiat Seni (TKPS).

Geran mikro pengkaryaan Content Malaysia Pitching Centre dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM5,000 ketika ini.- MalaysiaGazette