Suasana meriah pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Kesilapan kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek memerintah Sabah dan Sarawak akhirnya diperbetulkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia sangat jelas pada pelancaran Manifesto Barisan Nasional yang bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ malam tadi yang dilihat banyak memberi manfaat secara iklusif kepada penduduk kedua-dua negeri itu.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau sangat berpuas hati dan gembira dengan manifesto kali ini yang bersifat realistik, inklusif serta mempunyai kesinambungan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini.

“Manifesto ini menekankan sifat konsesus dan ‘perkongsian kuasa’ yang sebenar antara negeri dan pusat. Ianya juga konsisten dengan agenda memperkasakan semangat MA63.

“Mengenali Najib, saya amat yakin dengan ketulusan beliau dalam memperbetulkan kesilapan serta kesalahan yang telah di lakukan ketika zaman Tun Mahathir khususnya pada zaman sentralisasi kuasa di bawah beliau selama hampir 22 tahun memerintah negara,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika mengulas manifesto kerajaan BN yang berjanji akan mengembalikan hak untuk penyeliaan kawalan elektrik dan gas kepada Sabah dan Sarawak.

Dalam manifesto itu, kerajaan BN berjanji akan mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 sekiranya terambil.

Menurut Anifah, manifesto BN sebenarnya jauh lebih ke hadapan dalam pemerkasaan negeri-negeri Borneo berbanding Pakatan Harapan yang disifatkan retorik serta omong-omong kosong.

“Cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak MA63 dalam Manifesto Pakatan Harapan adalah ‘redundant’ atau tidak perlu kerana sudah pun dilakukan oleh Kerajaan BN.

“Saya sendiri yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut, bukankah ini sendiri sudah menunjukan bagaimana mereka sebenarnya langsung tidak peka dengan sebarang perkembangan berkaitan MA63. Kepentingan rakyat Sabah tentunya tidak akan sesekali terbela seandainya di bawah kepimpinan mereka.

“Saya menyeru kepada keseluruhan rakyat di negeri ini supaya memberikan sokongan serta mandat demi kesinambungan serta pembangunan berterusan,” ujarnya.

Dalam aku janji itu, Najib juga mengumumkan Sarawak akan memulakan projek rintis sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dan tidak meminggirkan Bahasa Malaysia

Selain itu, beliau berkata, kerajaan BN akan menambah peruntukan untuk kajian ukur bagi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan BN juga berjanji akan meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sejauh 2,294 kilometer bernilai RM40 bilion tanpa tol selain terus membina 12,500 kilometer jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak. – MalysiaGazette

Anifah Aman