Penyanyi, Khair Bahar dan Pelakon, Neelofa masing-masing merangkul Anugerah Top Top Meletop Lelaki dan Wanita pada Anugerah Meletop Era 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Penyanyi Khai Bahar membuktikan dia masih relevan dan popular apabila muncul pemenang kategori utama Anugerah MeleTOP 2018 (AME2018) menerusi kategori Top Top MeleTOP (Lelaki).

Khai, 24, turut membolot dua lagi buah trofi menerusi kategori Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP (Bayang) pada acara yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini.

Menerusi kemenangan itu, Khai membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 berserta trofi.

Penyanyi, Khair Bahar muncul juara bagi kategori Lagu Meletop dan Penyanyi Meletop pada Anugerah Meletop Era 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2018

Dalam pada itu, Top Top MeleTOP (Wanita) milik pengacara dan pelakon Neelofa selain membawa pulang trofi menerusi dua kategori lain, Pelakon TV MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Drama lakonannya, Red Velvet bersama Alif Satar turut memenangi menerusi kategori Drama MeleTOP.

Seperti Khai, Neelofa, 29, membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 berserta trofi.

Bagi kategori utama, pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala kategori lain RM5,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, pengacara dan pelawak, Zizan Razak mempertahankan trofi menerusi kategori Artis Lawak MeleTOP yang dimenanginya tahun lalu.

Gandingan Neelofa dalam program MeleTOP, Nabil Ahmad, memenangi kategori Hos MeleTOP selepas menewaskan menumpaskan empat calon kegemaran lain, Alif Satar, Datuk AC Mizal, Jihan Muse dan Siti Nordiana.

Bagi kategori filem, J Revolusi membawa pulang trofi Filem MeleTOP dan Bintang Filem MeleTOP menjadi milik Fazura.

Pelakon Farah Nabilah pula mengenepikan empat calon lain iaitu As’ad Motawh, Fendy Bakry, Hannah Delisha, Wany Hasrita bagi membawa pulang trofi Artis Baharu Terbaik.

Kategori Si Cilik MeleTOP pula membuat kejutan apabila anak kepada Asyraf Khalid iaitu Arif Jiwa Asyraf memenangi trofi tersebut.

Adik Arif Jiwa Asyraf (tengah) muncul juara bagi kategori Si Cilik Meletop pada Anugerah Meletop Era 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2018

Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir pula membawa pulang trofi Grup/Duo MeleTOP menerusi lagu Digarhayu.

Sementara itu, Anugerah Khas AME2018 mengiktiraf bekas pembaca berita Dunia Jam 10 di RTM, Datuk Harjit Singh Hullon bagi menghargai bakti beliau dalam bidang penyiaran selama 45 tahun sejak 1971.

Pada 2011, beliau telah menerima pengiktirafan sebagai Penyampai Berita Televisyen Paling Lama Berkhidmat oleh Malaysia Book of Records.

Anugerah itu disampaikan oleh pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi.

Nabil Ahmad, Neelofa bertindak sebagai pengacara AME2018 bersama hos jemputan iaitu Sabri Yunus, Sherry Alhadad, Jihan Muse dan Zul Ariffin.

Persembahan pembukaan AME2018 diserikan dengan nyanyian daripada Altimet, Ito Blues Gang, Francissca Peter, Kool, Noh Hujan selain Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, UNIC dan Datuk Ramli Sarip.

AME2018 turut diserikan penyanyi Indonesia, Virgoun yang tampil menghiburkan penonton selain persembahan istimewa daripada Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Mas Idayu dan Ruffedge.

AME2018 turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (124) pada pukul 9 malam.

Pemilihan pemenang dilakukan berdasarkan seratus peratus undian peminat menerusi laman web khas yang disediakan.

Berikut adalah senarai penuh pemenang AME2018

Artis Baharu MeleTOP – Farah Nabilah

Si Cilik MeleTOP – Arif Jiwa Asyraf

Couple MeleTOP – Jep Sepahtu & Sari Yanti

Program Radio MeleTOP – Johara Pagi Era

Penyampai Radio MeleTOP – Johan (Era)

Program MeleTOP – Sepahtu Reunion Live 2017

Hos MeleTOP – Nabil MeleTOP

Artis Lawak MeleTOP – Zizan Razak

Drama MeleTOP – Red Velvet

Pelakon MeleTOP – Neelofa

Grup/Duo MeleTOP – Datuk Seri Siti Nurhaliza & Faizal Tahir

Penyanyi MeleTOP – Khai Bahar

Lagu MeleTOP – Bayang (Khai Bahar)

Filem MeleTOP – J Revolusi

Bintang Filem MeleTOP – Nur Fazura (J Revolusi)

Top Top MeleTOP (Lelaki) – Khai Bahar

Top Top MeleTOP (Wanita) – Neelofa – MalaysiaGazette