Home Seni Hidup ‘Pok Ya Cong Codei’ dipatenkan

‘Pok Ya Cong Codei’ dipatenkan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus, 57, mendapatkan hak paten untuk nama ‘Pok Ya Cong Codei’ sejak sebulan lalu.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas dinasihatkan bagi mengelak ia disalah guna oleh pihak lain bagi tujuan mengaut keuntungan.

“Sebaik watak dan telefilem Pok Ya Cong Codei diperkatakan ramai serta tular, saya dimaklumkan banyak pihak yang ambil peluang mempromosikan produk mereka menggunakan nama itu.

“Kalau bisnes kecil dan sekadar menjual topi atau baju T, saya anggap berkongsi rezeki kerana mereka juga membantu promosi. Tetapi, ada syarikat besar yang menggunakan nama itu tanpa mendapatkan persetujuan terlebih dahulu.

“Peguam yang saya kenali menasihatkan saya supaya memohon hak paten kerana bimbang ia disalah guna dan tidak mahu nanti saya pula yang dipersalahkan,” katanya pada sidang media selepas pelantikannya sebagai duta Umrah Cong Codei bersama Pok Ya.

Terdahulu, telefilem Pok Ya Cong Codei menjadi tular selepas disiarkan pada Januari lalu gara-gara nama Hotel Concorde disebut Pok Ya sebagai Cong Codei hingga menjadi ikutan penonton.

Sebutan nama hotel yang lucu dan menjadi ‘trending’ di laman sosial itu turut menarik minat Richworld Travel & Tours untuk memperkenalkan pakej umrah berserta ziarah dengan menginap di Hotel Concorde Makkah dan Madinah.

Selain Sabri yang membawa watak Pok Ya, kisah mencuit hati itu turut dibintangi Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim. – MalaysiaGazette