Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Para pemimpin dan anggota parti MIC diingatkan akan berdepan tindakan disiplin yang berat sekiranya tidak menghentikan segera pengeluaran kenyataan media menuntut kerusi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, mana-mana ahli parti yang cuba mencabar keputusan kepimpinan tertinggi parti dalam perkara penentuan calon tidak akan dikenakan tindakan tegas.

“MIC hanya akan menentukan calon yang berpeluang tinggi menang pada pilihan raya akan datang dengan penilaian rapi menerusi kaedah maklum balas peringkat akar umbi, pusat penilaian dan maklumbalas operasi Barisan Nasional (BN).

“Calon yang berpeluang tipis untuk menang berkemungkinan akan digantikan dengan mereka yang berpeluang cerah untuk menang di sesebuah kawasan.

“Pada akhirnya, matlamat parti adalah untuk memenangi seberapa banyak kerusi yang mampu.Saya berharap calon-calon berpotensi pemimpin menyedari hakikat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Subramaniam, walaupun seseorang individu itu dipentingkan tetapi pada akhirnya kepentingan parti akan terus diutamakan.

Justeru, kata beliau, untuk meneruskan perjuangan keramat parti adalah penting untuk mencatatkan kemenangan pilihan raya kali ini.

Dalam perkara berkaitan, beliau mengharapkan semua pemimpin dalam parti mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan agenda parti demi mandat besar rakyat kelak.

“Sebarang cubaan untuk mensabotaj kempen piliha raya oleh mana-mana anggota parti akan dicegah dengan penuh tegas yang mana Dewan Tertinggi BN telah memutuskan parti komponen harus memecat atau meggantung keanggotaan individu atau anggota yang bertindak demikian.

“Semua perlu ingat bahawa menguruskan sesebuah pilihan raya untuk berdepan peperangan berkenaan bukan semudah yang disangka dan penyatuan serta kerjasama erat sesama ahli parti menjadi penentu kejayaan.

“Jika kita bersatu dan menggembleng sumber tenaga kita, kejayaan cemerlang boleh dicapai dengan hebat sekali, maka bersedialah untuk berperang,” tegas beliau.- MalaysiaGazette