GABUNGAN pembangkang Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan beberapa pemimpin utama mereka di kubu-kubu kuat BN pada pilihan raya umum ke-14 akan datang dengan tujuan menumbangkan parti pemerintah itu.

Dua kerusi Parlimen di Johor iaitu Muar dan Pagoh dilihat menjadi salah satu daripada tumpuan pembangkang di bahagian selatan tanah air.

Dua kerusi Parlimen itu ialah Muar dan Pagoh.

Jeneral perang PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikaitkan dengan spekulasi apabila diuar-uarkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang dipegangnya dan bakal berpindah ke Muar.

Ini ekoran kedudukannya sebagai pemimpin politik utama di kawasan Parlimen Pagoh sudah goyah apabila pengumuman manifesto BN baru -baru ini mungkin menggugat sedikit kedudukannya di Pagoh.

Pagoh merupakan salah satu daripada kawasan yang terlibat dengan banyak perkara seperti yang diumumkan oleh Najib.

Di Pagoh ada peneroka Felda dan pekebun kecil juga ramai yang bakal mendapat manfaat daripada manifesto BN.

Persoalan yang timbul, kenapa Muhyiddin mahu meninggalkan pengundinya di Pagoh untuk meraih sokongan di Muar?

Adakah selepas menyertai PH, kedudukan Presiden PPBM itu telah tergugat hingga beliau tidak sanggup melihat kekalahan yang mungkin dialami sekaligus melenyapkan impian untuk bergelar yang berhormat sekali lagi.

Jika benar habislah peluang Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai calon di Parlimen Muar atau mungkin menjadi ‘kambing hitam’ di Parlimen Pagoh.

Bab Syed Saddiq menjadi calon juga ramai berpendapat beliau terlalu muda untuk menjadi wakil rakyat dan seolah-olah tidak ada lagi orang yang layak diketengahkan oleh PPBM.

Apa pun, jika benar Muhyiddin membuat keputusan itu ia mungkin dipengaruhi oleh faktor kemenangan majoriti kecil oleh penyandangnya dari Barisan Nasional, Datuk Razali Ibrahim pada PRU lalu, iaitu 1,646 undi sahaja selain peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi akan memberi kelebihan kepadanya.

Semasa PRU-13, Muhyiddin yang ketika itu timbalan perdana menteri mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 12,842 undi mengalahkan calon Pas, Mohd. Rozali Jamil.- MalaysiaGazette