GOLD COAST, 11 April -- Pasangan penerjun negara Pandelela Rinong (kanan) dan Cheong Jun Hoong melakukan terjunan dalam acara Terjun 10 Meter Platform Seirama Wanita di Pusat Akuatik Optus sempena Sukan Komanwel kali ke-21 hari ini. Pasangan tersebut berjaya merangkul pingat emas dengan 328.08 mata. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada jaguh terjun Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong yang menghadiahkan pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

“Tahniah @cheongjunhoong & @Pandelela_R ! Emas ketiga negara di #GC2018 ! #TeamMAS #NegarakuKebanggaanku,” katanya menerusi akaun Twitter beliau di sini hari ini.

Gandingan penerjun elit kebangsaan itu mengumpul 328.08 mata berjaya merangkul pingat emas manakala pasangan Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri meraih gangsa dengan mengutip 308.16 mata.

Pingat perak disandang gandingan Kanada, Meaghan Benfeito-Caeli McKay dengan 312.12 mata.- BERNAMA