Pemandu teksi bersorak semangat ketika mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 pemandu teksi tercedera semasa beratur untuk menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia pada majlis di Maeps Serdang petang tadi.

Suruhanjaya Pegangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, kesemua pemandu yang terlibat telah menerima rawatan serta-merta, manakala seorang lagi individu mengalami kecederaan dan terpaksa dibawa ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya.

“SPAD akan menanggung kos perubatan bagi individu tersebut.

“Anggota penguatkuasaan SPAD, PDRM dan Rela telah mengambil tindakan serta-merta untuk mengawal keadaan dan pada jam 7 malam keadaan sudah terkawal,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, insiden yang tidak diingini semasa penyampaian kad oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila segelintir pemandu tidak mematuhi langkah-langkah pengurusan kawalan sistematik yang disediakan ketika mereka masuk ke dewan untuk mengambil kad.

SPAD berkata, seramai 12,000 pemandu teksi hadir dan didapati sebahagian besar memberi kerjasama ketika beratur untuk mengambil kad tersebut.

Malah katanya, sebanyak 60 kaunter pengurusan pendaftaran dan sistem ‘queue’ untuk pengambilan kad telah disediakan.

SPAD mengesyorkan para pemandu teksi di seluruh negara yang masih belum menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia mengambilnya di pejabat-pejabat SPAD di seluruh negara (kecuali Ibu Pejabat di Kuala Lumpur).

“Pemandu teksi boleh melawat ke pejabat SPAD iaitu iaitu di Kelana Jaya, Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Johor Bahru mulai hari Isnin, 16 April 2018 sehingga 16 Julai 2018.

“Malah kad berkenaan juga boleh diperolehi di cawangan SPAD di Melaka, UTC Ipoh, UTC Alor Setar, UTC Kota Bahru dan UTC Kuantan bermula dari Selasa 17 April, 2018 sehingga 16 Julai 2018.

“Bagi para pemandu di Sabah dan Sarawak, mereka boleh mendapati Kad Bantuan Teksi 1Malaysia daripada LPKP Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak dan tarikh akan dimaklumkan oleh pejabat LPKP Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses koleksi sila layari www.spad.gov.my/ms/pengusaha-kenderaan/teksi/kad-bantuan-teksi-1malaysia. – MalaysiaGazette