Presiden Mahasiswa Barisan Nasional (BN), Muhammad Ajmal Md Shater bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Jentera Mahasiswa Barisan Nasional (BN) di Dataran PWTC, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Lebih 2,000 mahasiswa dan mahasiswa universiti awam dan swasta akan terlibat sebagai jentera Barisan Nasional (BN) bagi memastikan rakyat menzahirkan mandat penuh kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden Siswa BN, Muhammad Ajmal Md Shater berkata, siswa BN akan mula turun padang mendekati rakyat di setiap kawasan bermula Ahad ini dan angka itu akan meningkat menjelang kempen yang bermula 28 April ini.

“Kami telah menjalani latihan siri pertama dan kedua sebelum turun ke lapangan dua minggu lalu melibatkan 1,000 mahasiswa dan angka itu bertambah secara drastik setelah kami kembali ke kampus dan bersemuka dengan mahasiswa.

“Bagi saya ini tepat pada masa kerana semasa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada 2009 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pembangkang telah mengambil kesempatan sepenuhnya.

“Kini saya gembira BN sudah bergerak dan berjaya mendampingi mahasiswa untuk turut beserta dalam politik secara sihat.

“Kami bukan nak bising seperti pembangkang di atas jalanan, kami dekati pengundi dengan lunas dan adab betul, disiplin dan lunas undang-undang yang dibenarkan dengan profesional bukannya diheret ke atas jalan membuta tuli,” katanya kepada pemberita di sini.

Muhammad Ajmal menyertai pelancaran Jentera Siswa BN PRU14 di dataran Pusat Dagangan Dunia Putra yang disertai lebih 2000 penyokong tegar siswa BN.

Malis tersebut disempurnakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Hadir pada majlis Tan Sri Noh Omar dan penaung siswa, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Dalam pada itu Razali berkata, pada hari pembuangan undi 9 Mei ini hampir 300,000 mahasiswa yang berdaftar sebagai pengundi sah akan melaksanakan tanggungjawab pada hari mengundi.

Beliau kagum kerajaan berjaya membuka pintu menerusi pindaan AUKU untuk mahasiswa berkecimpung dalam politik.

“Ia akan memberi pendedahan kepada siswa siswi kita untuk melihat suasana dan merasai kempen yang berbekalkan maklumat dan fakta menidakkan berita palsu dan fitnah yang dijangkakan daripada pembangkang kali ini.

“Seramai 2,000 mahasiswa BN ini akan terlibat dalam pelbagai platform dalam kumpulan sederhana sekitar 100 orang mengikut kawasan tumpuan sahaja dengan berbekalkan maklumat fakta berdepan dan berceramah di kalangan awam dengan berani.

“Ini penting untuk meyakinkan orang ramai tidak mahu kemudian hari disabotaj pembangkang. Disinilah bakal pemimpin dilahirkan kelak,” ujar beliau. – MalaysiaGazette