PEKAN, 15 April -- SEMANGAT… Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melambai kepada orang ramai ketika hadir majlis Pecah Tanah Menaiktaraf Jalan Persekutuan (FT003) dari Bandar Pekan ke Kampung Sungai Miang, hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

PEKAN – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan Malaysia memperoleh penilaian semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak empat kali dalam tempoh masa hanya setahun empat bulan daripada Bank Dunia mencerminkan ekonomi negara berada dalam landasan baik dan semakin pesat.

Perdana Menteri juga menyifatkan kejayaan itu sebagai suatu pengiktirafan kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperoleh empat unjuran dalam tempoh masa tersebut.

“Sebagai sebuah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan saya, kita telah mengolah konsep serta falsafah pembangunan dan strategi dan perancangan yang teliti lagi jitu untuk membawa negara ke hadapan sehingga menjadi antara negara paling berjaya di dunia suatu hari nanti.”

“Di antaranya, kejayaan menyiapkan projek Transit Aliran Massa (MRT) lebih awal dengan kos di bawah jumlah sebenar manakala pelaksanaan Projek Rel Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan meningkatkan kadar pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan dari Bandar Pekan ke Kampung Sungai Miang di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Perdana Menteri berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya juga bukan hanya melihat kepada pertambahan hasil negara, tetapi bersikap menyeluruh apabila berpegang kepada prinsip dan falsafah berkongsi kekayaan negara dengan rakyat secara keseluruhannya.

“Kalau hasil negara bertambah, kita akan membantu mengagihkannya kepada rakyat, lebih-lebih lagi kepada mereka daripada golongan B40 dan M40 dalam pelbagai bentuk bantuan yang dapat dilaksanakan kerajaan.”

Ini konsep yang saya percaya amat sesuai dan tepat untuk menjadi pegangan kita… yakin dan percaya bahawa kita merupakan kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat. Kita tidak menabur janji yang kemudiannya tinggal janji sahaja dan tidak ditunaikan,” katanya.

Sebagai contoh, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan merujuk kepada pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan sebanyak 100 peratus selain menambah kategori penerima bantuan itu, selepas melihat pendapatan negara akan meningkat berikutan peningkatan harga minyak mentah.

Pada majlis itu, Najib juga mengumumkan pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Persekutuan dari Bandar Pekan ke Kampung Sungai Miang di sini, sepanjang 14.7 kilometer (km) melibatkan peruntukan RM338 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, RM25 juta adalah kos pengambilan tanah dan projek yang dilaksanakan oleh syarikat kontraktor Teras Sari Resources Sdn Bhd dijangka siap pada 28 Feb 2022.

“Kerja untuk melaksanakannya telah bermula pada 1 Mac lalu. Pelaksanaannya sudah pasti akan memudahkan perhubungan keluar masuk ke bandar Pekan.”

“Walaupun tidak sampai ke Endau (Johor), ini boleh dianggap sebagai titik permulaan jalan dari Pekan ke selatan yang boleh dilanjutkan kepada fasa seterusnya mengikut kepada kemampuan (kerajaan),” katanya.

Berdasarkan maklumat Kementerian Kerja Raya, projek itu melibatkan usaha menaik taraf jalan sedia ada daripada jalan tunggal dua piawaian kepada jalan tunggal dua hala sepanjang 1.7 km dari bandar Pekan ke persimpangan Tanjung Agas.

Skop projek itu juga melibatkan pembinaan jalan berkembar empat lorong sepanjang 13 km dari persimpangan Kampung Tanjung Agas ke Kampung Sungai Miang dan kerja menggantikan tiga jambatan.

Jambatan tersebut merentasi Sungai Habib Hasan sepanjang 30 meter, tali air Sungai Miang (108 meter) dan Sungai Air Tawar (70 meter selain membina tiga jejantas, pemasangan lampu jalan, menaik taraf persimpangan lampu isyarat di Kampung Tanjung Agas dan di persimpangan Industri Tanjung Agas.

Pelaksanaan projek itu juga disifatkan selaras dengan perancangan pelan Pembangunan Rangkaian Lebuh Raya (HNDP) dari Pekan, Pahang ke Kota Tinggi, Johor sejauh 240 km selain berupaya meningkatkan tahap sosioekonomi di kawasan tersebut.- BERNAMA