Mohd. Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Bekas jurugambar Malaysia Gazette, Mohd. Ashraf Mustaqim, 31, terpilih menjadi calon Parlimen Paya Besar di Pahang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pemilihan beliau yang juga Exco Armada PPBM Pusat diumumkan secara rasmi oleh parti itu dalam satu majlis di Temerloh semalam.

Mohd. Ashraf yang juga lebih dikenali sebagai Acap sebelum ini antara individu yang selalu ke depan selain ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PPBM semalam juga mengumumkan pihaknya bertanding di enam kerusi Parlimen dan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU-14.

Keenam-enam kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu ialah di Lipis, Jerantut, Paya Besar, Pekan, Maran dan Kuala Krau.

Kerusi-kerusi DUN pula ialah Padang Tengku, Tahan, Peramu Jaya, Bebar, Chenor, Jenderak, Kemayan, Bukit Ibam dan Muadzam Shah.

Pengumuman yang dibuat Pengerusi Perhubungan PPBM negeri, Wan Mohd. Shaharir Wan Abdul Jalil.

Selain Mohd. Ashraf, PPBM juga meletakkan Ketua Bahagian Indera Mahkota, Kamarul Ariffin Mohd. Shahar bertanding di Parlimen Pekan yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Calon-calon kerusi Parlimen lain ialah Timbalan Ketua PPBM Lipis, Ahmad Pozi Yahaya diletakkan bertanding di Lipis; Wan Mohd. Shaharir (Jerantut); Ahmad Farid Ahmad Nordin (Maran) dan Mohamad Rafidee Hashim di Kuala Krau.

Bagi DUN pula, Timbalan Pengerusi PPBM negeri, Datuk Salim Abd. Majid diletakkan bertanding di DUN Peramu Jaya; AJK PPBM Lipis, Alias Abd. Rahman (Padang Tengku), Nordin Samat (Tahan), Naib Ketua Bahagian Kuantan, Afif Syirol Abdul Rahman (Bebar), Ketua Srikandi PPBM, Zuliana Mohamed (Chenor), Faizah Baharom (Jenderak); Mohamed Jidi Yaakob (Kemayan); Zulkarnain Mohamad Ridzun (Bukit Ibam) dan Muadzam Shah akan ditandingi Ketua Penerangan PPBM, Osman A. Bakar.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan