Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown masih lagi tersenarai sebagai mereka yang dilarang daripada memasuki negeri ini.
Clare Rewcastle Brown

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu Clare Rewcastle Brown.

Presidennya, pemilik portal Sarawak Report (SR) itu didakwa membuat berita palsu sehingga menjejaskan situasi politik, ekonomi dan kestabilan di negara ini.

Beliau turut meminta PDRM menjelaskan apa status permohonan notis merah yang dibuat kepada Polis Antarabangsa (Interpol) di Perancis untuk menahan dan mengekstradisi Clare ke Malaysia.

“Pada 2015 ketika di bawah pentadbiran bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, PDRM memperoleh waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah di Kuala Lumpur ke atas editor portal berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan Seksyen 124 akta yang sama pada 4 Ogos.

“Pihak polis perlu menjelaskan kepada orang ramai apakat status red alert yang dipohon kepada Interpol untuk buru Clare.

“Persepsi rakyat ke atas kerajaan rosak disebabkan laporan portal berkenaan dalam isu 1MDB dan kerajaan dikecam oleh sebab fitnah yang tidak ada bukti yang kukuh hanya daripada artikel fitnah portal berkenaan,” kata Ramesh dalam satu kenyataan hari ini.

Pada September 2015, PDRM membuat permohonan semula untuk tujuan itu mengeluarkan Notis Merah berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai kepentingan dalam kes ini hendak tahu, apakah status notis merah ini sekarang?,” soalnya.

Ramesh berkata, SR membuat fitnah mencipta kontroversi menuduh kerajaan melesapkan wang rakyat, mengambil wang dari 1MDB sehingga dakwaan KWSP melenyapkan dana untuk kempen Barisan Nasional dalam PRU-14.

Tuduhan SR bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil RM2.6 bilion dari 1MDB adalah tidak berasas dan hasil siasatan SPRM sudah terbukti ia adalah wang derma dari Keluarga Diraja Arab Saudi, dakwanya.

“SR juga buat fitnah dengan menuduh Presiden Pas menerima rasuah RM90 juta daripada Najib dengan menggunakan wang 1MDB.

“Begitu banyak fitnah yang dibuat oleh portal berkenaan dan pihak polis mesti memburu Clare dan dibawa ke Malaysia untuk didakwa dan dibicarakan atas kesalahan yang dilakukannya kepada negara ini,” katanya lagi.

Justeru, Ramesh berkata, Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun perlu memberikan maklumat kepada orang ramai apakah status terkini notis merah sebelum ini.

Clare, katanya, perlu memberikan penjelasan dan menjawab dakwaan serta tuduhan ke atasnya kerana ia penting untuk menjawab fitnah yang sudah dibuat oleh pihaknya kepada kerajaan, pemimpin dan rakyat di negara ini.- MalaysiaGazette