SEOUL – Bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye yang telah dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun kerana rasuah membuat kejutan apabila enggan membuat rayuan dalam kesnya.

Agensi melaporkan, pada awalnya Guen-hye tekad untuk melakukan rayuan selepas hukuman itu dijatuhkan namun kemudian mengarahkan para peguamnya supaya menerima sahaja.

Dokumen berhubung penarikan permohonan rayuan itu sudah diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, pegawai mahkamah berkata, kes itu tetap bakal didengar di mahkamah selepas pihak pendakwaan memfailkan rayuan dengan alasan Geun-hye mengelak daripada dikenakan pertuduhan tertentu.

Sebelum ini, pada 7 April lepas, mahkamah turut mengarahkan Geun-hye membayar denda sebanyak 18 bilion won (RM65.56 juta).

Keputusan itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen walaupun bekas pemimpin itu tidak hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan.

Beliau telah memboikot pendengaran perbicaraannya dan menuduh mahkamah berat se­belah terhadapnya selepas menafikan semua dakwaan tersebut.

Tindakan pihak berkuasa untuk membenarkan keputusan itu di­siarkan secara langsung itu tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi dilakukan ekoran ia melibatkan kepentingan awam.

Geun-hye didapati bersubahat dengan rakannya, Choi Soon-sil memeras ugut konglomerat supaya memberi suapan sebagai balasan kepada kelebihan dalam politik yang diterima mereka.

Soon-sil yang merupakan orang kepercayaan Geun-hye disabitkan dengan tuduhan rasuah pada Februari lalu dan hubungan mereka menjadi perhatian ekoran dakwaan bahawa beliau sering memberi pengaruh yang tidak wajar ke atas urusan negara.

Pasukan pendakwaan me­ne­gaskan, Geun-hye telah membenarkan Soon-sil mendapat akses yang tidak sepatutnya terhadap dokumen rasmi kerajaan, dan menyembunyikan penyertaannya dalam hal ehwal negara.

Selepas satu siri pendengaran dan berbulan-bulan protes jalanan, Geun-hye akhirnya dipecat pada Mac tahun lalu dan ditahan pihak berkuasa tidak lama kemudian.

Beliau menghadapi 18 pertuduhan termasuk rasuah, peras ugut dan didapati bersalah terhadap kebanyakan pertuduhan itu.

Sementara itu, peguam Geun-hye gagal dihubungi agensi berita dinegara berkenaan untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini. – Malaysia Gazette