Nurul Islam Mohamed Yusoff

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan menyalurkan bantuan berupa bekalan dan wang tunai dengan nilaian mencecah jutaan ringgit kepada penduduk Bukit Antarabangsa dan Gombak boleh ditafsir sebagai sogokan untuk mempengaruhi sentimen pengundi, selain perbuatan tidak beretika.

Menurut Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, hanya beberapa hari lepas Mohamed Azmin bergimik pulang ke rumah dari pejabat menggunakan perkhidmatan grab selepas beliau dan Exco Kerajaan Negeri memulangkan kenderaan kerajaan sebagai penegasan tidak menyalahguna harta kerajaan negeri untuk pilihanraya.

Katanya, Seksyen 7 hingga 10 Bahagian III Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 telah menetapkan perbuatan rasuah yang mesti dielak dan dijauhi.

“Di kala PKR sering mencemuh pemerintah Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan kuasa, pengaruh dan kedudukan sebagai kerajaan sementara untuk mempengaruhi pengundi, tindakan Mohamed Azmin adalah sama sahaja.

“Tidaklah juga menghairankan kerana kebanyakan pimpinan PKR termasuklah Mohamed Azmin sendiri datang dari UMNO-BN,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Jelas Nurul Islam, Pas menjunjung Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan menolak penyalahgunaan kuasa, kedudukan serta menggunakan politik wang bagi mempengaruhi pilihanraya.

Insiden seperti ini kata beliau, seharusnya menyedarkan rakyat untuk menilai antara integriti dan gimik politik serta kepentingan memilih pemimpin yang jujur dan bersih untuk memimpin negara pasca PRU14. – MalaysiaGazette