Api marak memusnahkan rumah kayu yang didiami tiga kanak-kanak. Mayat mereka ditemukan rentung.

SEMPORNA – Tiga kanak-kanak rentung selepas terperangkap dalam sebuah rumah kayu yang 95 peratus terbakar di Kampung Pegagau dekat sini, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, dalam kenyataan berkata, mangsa adalah dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Emang, 5, dan Botak, 3, serta seorang kanak-kanak perempuan, Puangsa, 5.

“Balai Bomba dan Penyelamat Semporna menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 mengenai kebakaran itu pada jam 7.47 malam, dan bergegas ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer dari balai dengan menggunakan dua jentera yang diketuai Ketua Balai, Fazizul Hizam Borhan bersama 10 anggota,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada jam 9.43 malam dan semua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan, kata kenyataan tersebut. – BERNAMA