Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas Pakatan Harapan di Galeri PPBM Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2018.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) kesal dengan jawapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyatakan ‘tiada masa’ untuk menemui wakilnya berhubung hasrat PPBM menggunakan logo dan simbol PKR dalam PRU14.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, makluman SPR itu hanya mengundang persepsi negatif dan badan itu boleh dilabelkan sebagai tidak ‘suka’ pilihan raya diadakan secara baik dan saksama.

“Surat yang ditulis oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution untuk mendapat penjelasan, dijawabnya tiada masa, tiada masa langsung, kita bagi tarikh 10 April 2018 tetapi mereka tidak boleh pada mana-mana masa.

“Semua masa penuh. Kononnya sibuk. Jadi ini bukanlah cara kerajaan, SPR ditubuh untuk membantu supaya pilihan raya diadakan dengan cara yang baik, tertib dan aman,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH di ibu pejabat PPBM, di sini, hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Mahathir Mohamad diiringi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah (dua kanan) dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng (tiga kiri) bercakap pada sidang media khas Pakatan Harapan di Galeri PPBM Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2018.

Pada 11 April 2018, Saifuddin menghantar surat kepada SPR untuk memohon penjelasan tentang hasrat PPBM, DAP, PAN dan PKR menggunakan satu logo serta satu simbol dalam PRU14 pada 9 Mei ini.

Dalam surat itu, antara lain memohon penjelasan SPR berhubung proses perjalanan pilihan raya secara undi pos dan undi awal dilaksanakan serta keperluan memohon kebenaran menggunakan logo dan simbol parti lain oleh mana-mana individu.

Mahathir juga berkata, pihaknya masih konsisten menggunakan satu logo dan satu simbol mewakili PH kerana sehingga kini, tiada bantahan diterima daripada SPR untuk menghalang niat mereka itu.

“PPBM ini sudah tiada, walaupun PPBM sudah tidak ada, orang itu sebagai persendirian masih mempunyai hak untuk bertanding.

“Kami akan bertanding sebagai calon bebas tetapi dengan izin kami akan menggunakan logo parti Keadilan.

“SPR menyatakan bahawa tidak perlu mendapat kebenaran daripada SPR, kita pegang kepada itu (kenyataan SPR).

“Tapi janganlah pihak SPR dan kerajaan hari ini pada saat terakhir di waktu kita nak menamakan calon, tiba-tiba beri arahan kononnya tak boleh pakai (logo, simbol PKR), supaya kita tak boleh bertanding dan BN boleh menang tanpa bertanding,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.