Home Utama Henti ugut pegawai SPRM

Henti ugut pegawai SPRM

SPRM
Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan amaran tegas kepada individu yang cuba mengugut pegawai kanan agensi itu dengan menghantar peluru hidup serta nota berbaur ugutan ke rumah mereka.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mahu mereka yang terbabit menghentikan perbuatan itu kerana tindakan pengecut sedemikian tidak akan sama sekali melemahkan semangat pegawai SPRM daripada melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

“Malah, perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntik lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam memastikan hak masyarakat terbela daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Daruk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan individu yang cuba mengugut seorang pegawai kanannya dengan meletakkan peluru hidup serta satu nota amaran berbaur ugutan dalam peti surat rumahnya.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan SPRM menggesa pihak polis menyiasat kes tersebut serta mengenal pasti individu yang berbuat demikian supaya tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut lunas undang-undang.

Menurut Dzulkifli, SPRM mengucapkan ribuan terima kasih kepada polis atas tindakan pantas mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut dan mengenalpasti mereka yang terlibat dalam perbuatan itu. – MalaysiaGazette