Datuk Seri Mah Siew Keong bakal berhadapan dengan calon DAP, Nga Kor Ming dalam PRU14 bagi kerusi Parlimen Teluk Intan.
Datuk Seri Mah Siew Keong bakal berhadapan dengan calon DAP, Nga Kor Ming dalam PRU14 bagi kerusi Parlimen Teluk Intan.

TELUK INTAN –  Selepas Ayer Hitam di Johor kecoh apabila Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dipindahkan ke situ untuk bertanding, kini tiba pula giliran Teluk Intan di Perak.

Jika Chin Tong berdepan dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pula berdepan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong di Teluk Intan.

Bertambah menariknya, pertarungan di Teluk Intan kini juga dikaitkan dengan keadaan di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang terletak bersebelahan dan dimenangi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.

Sokongan kuat kepada Ahmad Zahid di Bagan Datuk mungkin memberi kesan limpahan positif kepada Siew Keong, tetapi sejauh manakah ia mampu untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN)?

China Press dalam laporannya telah menyebut kehadiran penyokong Melayu dalam rapat umum yang diadakan pembangkang di Teluk Intan.

Sinchew Daily pula melaporkan 90 peratus yang hadir dalam majlis itu ialah kaum Cina dan hanya 10 peratus ialah Melayu, petanda bahawa DAP masih mempunyai kelebihan dalam menguasai undi Cina.

Menurut akhbar itu, walaupun terdapat pengundi Cina yang kembali kepada BN sebelum ini, tetapi kemunculan Kor Ming mungkin menyebabkan Siew Keong kehilangan semula penyokong kaum itu.

“Kor Ming sedar bahawa dirinya bukan anak jati Teluk Intan dan beliau justeru meminta pengundi memilih parti dan bukan calonnya. Kor Ming juga meminta pengundi di bandar untuk balik kampung dan mengundi di Teluk Intan.

“DAP mengharapkan sokongan besar-besaran Cina dan pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad akan memberi kemenangan,” demikian lapor Sinchew Daily.

Pada ketika DAP mengharapkan fenomena “balik kampung mengundi”, kelebihan Siew Keong pula terletak pada rekod perkhidmatan di Teluk Intan.

“Siew Keong anak Teluk Intan dan sudah berkhidmat lebih dua puluh tahun di situ, beliau pemimpin yang dikenali  orang Teluk Intan.

“Sebagai Presiden Gerakan dan menteri Persekutuan, beliau membawa banyak projek pembangunan kepada Teluk Intan,” lapor Sinchew Daily. – MalaysiaGazette