KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan (kiri) bersama-sama polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd (JKSB) termasuk Zaidi Salleh (dua dari kiri) dalam majlis penghargaan di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang pagi ini.
KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan (kiri) bersama-sama polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd (JKSB) termasuk Zaidi Salleh (dua dari kiri) dalam majlis penghargaan di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang pagi ini.

PULAU PINANG – Polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Zaidi Salleh, 52, yang bertindak berani terjun daripada jambatan kedua bagi menyelamatkan seorang wanita semalam diberi penghargaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Zaidi serta dua lagi rakan setugasnya, Megat Taufik Megat Kamaruddin dan Mohamad Fitri Abu Hasan yang masing-masing berusia 29 tahun menerima sijil penghargaan itu daripada Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan, di ibu pejabat polis kontinjen negeri di sini.

Sementara itu, mengimbau kejadian semalam, Megat Taufik berkata, Zaidi menawarkan diri untuk terjun menyelamatkan wanita berkenaan meskipun dia dan seorang lagi rakannya terlebih dahulu tiba di lokasi kejadian.

“Mungkin latar belakangnya dalam perkhidmatan tentera sebelum ini memberi keberanian kepadanya untuk terjun dan kami pula menyediakan peralatan lain bagi memastikan kedua-dua mereka selamat,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis penghargaan tersebut.

Dalam kejadian pagi semalam, Zaidi mempertaruhkan nyawanya dengan terjun dari atas jambatan kedua pada ketinggian kira-kira 20 meter untuk menyelamatkan seorang wanita yang terlebih dahulu terjun ke laut.

Usahanya itu berhasil selepas dia berjaya menyelamatkan wanita berusia 28 tahun berkenaan selepas bergelut melawan arus kira-kira 45 minit sebelum diselamatkan bot nelayan.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, dia sebelum ini pernah berdepan dengan situasi kecemasan termasuk menyelamatkan mangsa lemas termasuk ketika bertugas bersama Skuadron 104 di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.

“Saya juga bernasib baik kerana wanita berkenaan memberi kerjasama sepanjang saya cuba menyelamatkannya walaupun hampir 45 minit kami terapung di laut,” katanya.

Sementara itu, Thaiveegan merakamkan penghargaan dan berbangga dengan keberanian Zaidi tersebut yang dianggap sebagai luar biasa kerana sanggup menggadai nyawa sendiri.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil jalan pintas dengan terjun ke laut atas sebarang alasan sekali pun kerana tindakan berkenaan menyusahkan banyak pihak.

“Berdasarkan rekod, kita menerima sebanyak 44 kes terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejak 2011 manakala empat kes pula direkodkan di jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) sejak empat tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette