Sebahagian daripada kira-kira 20,000 pemimpin, ahli dan penyokong UMNO serta BN Kelantan dari empat peringkat mendengar ucapan Mustapa.
Sebahagian daripada kira-kira 20,000 pemimpin, ahli dan penyokong UMNO serta BN Kelantan dari empat peringkat mendengar ucapan Mustapa.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan UMNO Kelantan menjanjikan beberapa perkara yang memberi manfaat kepada rakyat negeri itu sepanjang 100 hari pertama jika menang PRU-14.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara perkara yang akan diberi keutamaan dalam tempoh itu ialah mengurangkan kadar premium dan cukai tanah selain menjanjikan perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berkesan.

BN Kelantan juga berjanji untuk menubuhkan Jawatankuasa Hibbah dan menghapuskan tunggakan cukai pintu yang membelanggu rakyat selama ini akibat bebanan hidup, katanya.

“Ini janji kita sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN untuk memerintah Kelantan pada PRU-14.

“Kita juga berjanji akan menghapuskan cukai kepala bakul, mempermudahkan prosedur permohonan lesen kepada peniaga kecil dan mengkaji semula kadar bayaran tempat letak kereta.

“BN Kelantan turut menjanjikan akan mewujudkan task force bagi memerangi gejala dadah dengan lebih berkesan,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Manifesto BN Kelantan di RTC Tunjung, di Kota Bharu malam ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan barisan kepimpinan empat peringkat sayap UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan MyPPP.

Mustapa berkata, BN Kelantan mampu melaksanakan janji-janji itu sekiranya diberi kuasa mentadbir Kelantan.

Beliau berkata, manifesto BN PRU-14 ini tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sebagaimana gula-gula dari Pakatan Harapan sebaliknya sebagai akujanji parti yang bertujuan untuk membawa pembangunan secara komprehensif dan seimbang dari aspek duniawi serta ukhrawi. – MalaysiaGazette