Manifesto Barisan Nasional Kedah sempena PRU14 akan mengandungi empat elemen kejutan,

ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) Kedah akan mengumumkan empat elemen kejutan dalam pembentangan manifesto oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah esok dalam usaha mempertahankan kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiausaha BN negeri, Datuk Md Rozai Shafian berkata, manifesto tersebut adalah rancangan untuk rakyat Kedah dalam tempoh lima tahun jika diberikan mandat baharu selepas pilihan raya 9 Mei nanti.

“Manifesto ini adalah projek dan rancangan daripada BN yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

“Ia melibatkan tiga aspek, pertama melibatkan pembangunan sedia ada, projek pembangunan masih berjalan dan cadangan projek pembangunan baharu,” kata beliau semasa taklimat hari ini.

Dalam pada itu, Rozai memberitahu, empat elemen yang akan diumumkan Menteri Besar, melibatkan rancangan khusus untuk rakyat di Langkawi, insentif untuk masyarakat berbilang kaum, insentif untuk menegakkan syiar Islam dan rancangan pembangunan bola sepak di Kedah.

“Keempat-empat elemen ini akan memberikan kesan dan membawa Kedah selangkah ke depan dengan pembangunan negara,” ujar beliau.

Bagi insentif kepada rakyat Langkawi, difahamkan insentif kepada anak Langkawi akan diberikan kepada mereka yang mahu melibatkan diri dalam bidang perhotelan dengan beberapa skim rangsangan akan diperkenalkan jika BN diberikan mandat.

Untuk menggalakkan lagi perpaduan antara kaum, manifesto yang diumum BN Kedah akan memberi insentif kepada setiap kaum dalam menyambut perayaan mengikut adat resam masing-masing.

Bagi menegakkan syiar Islam, BN Kedah dijangka mengumumkan beberapa pembinaan sekolah tahfiz baharu di Kedah.

Untuk pembangunan bola sepak, pembinaan sebuah stadium baharu juga bakal dimasukkan dalam manifesto kali ini. – MalaysiaGazette