Walaupun dituduh anak derhaka, Nik Omar tetap dengan pendiriannya bersama PH memperjuangkan Islam.
Nik Omar Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pas tidak terkejut dengan usaha parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) yang dikatakan hendak melamar anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tujuan sebenar PAN memujuk anak Allahyarham Nik Abdul Aziz itu menyertai parti berkenaan hanya untuk dijadikan umpan bagi menarik sokongan rakyat sahaja.

Hakikatnya, kata beliau, PAN tidak mendapat tempat di hati rakyat Kelantan sehingga memaksa pemimpinnya berusaha untuk mendapatkan salah seorang anak bekas Menteri Besar itu menyertai mereka.

“Padahal, mereka nak jadikan Nik Omar sebagai umpan sahaja. Mereka (PAN) langsung tidak ada tarikan bagi masyarakat Kelantan, menyebabkan mereka terpaksa mencari faktor tarikan.

“Dan, mereka melihat Nik Omar antara peluang terbaik untuk menjadikan parti itu menarik perhatian ramai,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Nik Omar, 53, sebagai berkata, beliau tidak akan bertanding sebagai calon PAN kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Kata Nik Omar, ibunya telah meminta beliau supaya tidak terbabit dalam pertandingan sama ada di bawah PAN atau menjadi calon kepada mana-mana parti.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang yakin Nik Omar tetap bersama mereka sebelum hari penamaan calon 28 April ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.