IPOH – Lebih 10,000 ahli daripada 53 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Perak mendesak agar DAP menarik balik pencalonan Dr. Abdul Aziz Bari bertanding di negeri itu.

Menurut wakilnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi, Jaringan Bersatu Sahabat Perak (Jabat), Mohd. Ishraqi Sulaiman, Abdul Aziz yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu didakwa tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

Abdul Aziz juga didakwanya pernah menghina istana dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.

“Dia (Abdul Aziz) terlibat dengan pelbagai kontroversi termasuk menyifatkan bahawa derhaka kepada sultan bukan satu perkara jenayah. Kenyataan itu dikeluarkan pada tahun 2015.

“Pada tahun 2014, Abdul Aziz telah mengeluarkan kenyataan menafikan hak Raja-Raja Melayu menamakan Menteri Besar.

“Ini semua bertentangan dengan Rukun Negara dan bukan hanya menghina institusi Raja-Raja Melayu tetapi juga menghina perlembagaan negara,” katanya dalam satu sidang di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Jabat, Amaruddin Mohd. Daud.

Atas sebab itu, gabungan itu merasakan Abdul Aziz tidak akan diterima di Perak pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Dalam pada itu, Mohd. Ishraqi turut berkata rakyat Selangor sendiri telah menolak Abdul Aziz dan mengapa pula rakyat Perak harus menerima seseorang yang tidak menghormati institusi beraja di negara ini sebagai wakil rakyat.

“Perbuatan Abdul Aziz menghina dan mempersoalkan kuasa Raja-Raja tidak boleh diterima secara langsung. Meletakkan seorang yang bermulut celupar dan kurang ajar terhadap Raja-raja Melayu adalah satu penghinaan dan mencabar hati dan perasaan rakyat,” katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menamakan Abdul Aziz sebagai calon tunggal Melayu yang mewakili DAP di Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi.

Pada PRU-13, kerusi DUN Tebing Tinggi dimenangi calon DAP, Ong Boon Piow dengan majoriti 5,887 undi.

DAP Perak bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN  kali ini. -MalaysiaGazette