Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan bertanding di DUN Suka Menanti manakala Datuk Nawawi Ahmad di Parlimen Langkawi.
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah memberikan komitmen serius bagi menegakkan syiar Islam di negeri Jelapang Padi tersebut dengan membuat tawaran untuk menambah Maahad Tahfiz Sains dan menyemak gaji imam setiap tiga tahun.

Maahad Tahfiz Sains yang beroperasi di Kulim akan ditambah menjadi 3 cawangan dengan lokasi baru di Kubang Pasu, Pokok Sena dan Sungai Petani.

Elaun Imam, Bilal dan Siak yang sudah pun dinaikkan antara 60-80 peratus menerusi pengumuman Bajet Negeri 2018 juga akan dikaji untuk penambahbaikan setiap tiga tahun sekali.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata manifesto kali ini merupakan usaha berterusan UMNO dan BN untuk menegakkan syiar dan syariat Islam berkembang subur di negeri tersebut.

“Syiar dan syariat Islam, serta kerajaan sunnah wal jamaah ini dapat terus kita tegakkan di bumi Darul Aman, kerana Barisan Nasional ditunjangi oleh UMNO,” kata beliau semasa membentangkan Manifesto Kedah bertemakan ‘Menerus Kemajuan, Menzahir Impian’ di Stadium Suka Menanti malam ini.

Selain itu, para hafiz dan hafizah disediakan insentif tahunan khas dan tambahan biasiswa anak Kedah yang berjaya ke UNISHAM dengan tawaran 750 biasiswa untuk tempoh lima tahun.

BN juga menawarkan 50 tempat untuk pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah ke universiti terkemuka di Timur Tengah dalam bidang agama.

Dalam manifesto tersebut juga, BN Kedah mensasarkan peruntukan bagi Barakah Masjid akan dibelanjakan dengan jumlah keseluruhan RM25 juta dalam tempoh lima tahun.

Terakhir, BN Kedah akan memperkenalkan Program Road To Mecca diperingkat pelajar Menengah dengan suntikan dana awal diberikan RM500 ribu setahun yang ertujuan menggalakkan generasi ini menabung untuk menunaikan haji dan umrah di usia muda. – MalaysiaGazette

12 Insentif Menegakkan Islam

1) Pembinaan Kompleks Pentadbiran Agama dan Mahkamah Syariah Negeri Kedah bernilai RM357 juta

2) Pengukuhan fungsi dan operasi Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, dengan tambahan pembukaan cawangan di daerah Kubang Pasu, melibatkan kos RM15 juta.

3) Penawaran Biaiswa Diraja bagi 50 orang pelajar Kedah menyambung pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di Universiti terkemuka di Timur Tengah melibatkan bidang agama, dengan biaya RM10 juta.

4) Menaikkan elaun pegawai masjid meliputi Imam, Bilal dan Siak dengan kos RM41 juta bagi tempoh 5 tahun.

5) Membangunkan Kompleks Asnaf yang menyediakan kemudahan dialisis, klinik zakat dan pusat latihan kemahiran bagi golongan asnaf dengan biaya berjumlah RM20 juta.

6) Menyediakan elaun khas tahunan bagi para Hafiz dan Hafizah anak negeri Kedah.

7) Memperkemas pelaksanaan program BARAKAH MASJID dengan nilai biaya RM15 juta bagi membolehkan anak kariah terbela.

8) Memperuntukkan 150 biasiswa kepada pelajar anak KEDAH yang menuntut di UNISHAMS bagi 8 program pengajian terpilih babitkan kos RM18 juta.

9) Pembinaan Pusat Latihan Imam Kebangsaan di daerah Yan dengan kos RM120 juta.

10) Menubuhkan Sekolah Rendah Maktab Mahmud sebagai feeder kepada Maahad Mahmud diperingkat Menengah libatkan biaya RM3 juta.

11) Meluaskan Pusat Tusiyen Barakah Kedah dengan kos RM5 juta di kesemua 36 kawasan DUN.

12) Insentif berterusan bagi belian kitab dan dana pengurusan bagi kesemua pondok yang berdaftar dengan JAIK dengan biaya kos berjumlah RM10 juta.- MalaysiaGazette