Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyokong usaha kerajaan membangunkan prasarana termasuk pembinaan Keretapi Laju Pantai Timur (ECRL) yang dapat memajukan sosio ekonomi khususnya dalam sektor perikanan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, dengan adanya ECRL. ikan yang didaratkan di Kompleks Pendaratan Ikan LKIM seperti di Tok Bali, Kelantan dapat dipasarkan terus ke Lembah Klang sekaligus menjimatkan masa dan kos.

“Kemampuan dan potensi Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali dapat dipertingkatkan sepenuhnya sebagai hab serantau selaras dengan pembangunan ECRL.

“Penambahan kilang ais dan bilik sejuk beku di Tok Bali untuk menjadi pusat pengumpulan dan pendaratan ikan terbesar Pantai Timur adalah persediaan awal kepada ECRL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal bulan ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menghentikan projek ECRL sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mahathir mendakwa, projek bernilai RM55 bilion itu merupakan satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan kepada rakyat.

Susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu, pakatan pembangkang yang diketuai DAP itu berterusan memainkan isu ECRL di laman media sosial bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi menjelang PRU14.

Irmohizam berkata, pembinaan ECRL dilihat bakal menjadikan Tok Bali sebagai ‘exit point’ bagi melonjakkan industri perikanan di negeri Pantai Timur.

“LKIM percaya permintaan ikan dari Pantai Timur dapat dipasarkan terus ke Lembah Klang, selatan dan pantai barat negara pada harga berpatutan serta dijamin kesegaran kerana masa serta tempoh penghantaran dapat disingkatkan,” katanya lagi.

Pada masa ini, Kelantan merupakan negeri yang mempunyai bilangan vesel laut dalam tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain.

Daripada 1,253 buah vesel laut dalam di Malaysia, sebanyak 347 vesel laut dalam (28%) adalah dari Kelantan.

Manakala sebanyak 148,938 tan metrik (40%) dari 381,260 tan metrik pendaratan ikan laut dalam Malaysia adalah disumbangkan dari Kelantan, dan sebahagian besarnya mendapat pasaran di bandar-bandar besar termasuk Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette