Suasana pemandangan Menara Berkembar Kuala Lumpur dan juga Menara Kuala Lumpur yang merupakan tumpuan utama orang ramai dan antara mercu tanda utama tanah air pada tinjauan lensa Malaysia Gazette di ibu kota Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 4 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR- Cadangan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh pembangkang akan memberi risiko ketara kepada ekonomi sekiranya tiada langkah menjana hasil yang mengimbanginya, walaupun ia digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sebelum ini.

Kumpulan HSBC, berkata GST diperkenalkan pada 2015, apabila dividen dan royalti berkaitan minyak jatuh menjunam dan ia membolehkan kerajaan secara perlahan-lahan menstabilkan fiskal manakala dalam masa yang sama terus membiayai perbelanjaan sosial yang semakin meningkat.

“Pada 2017, GST menyumbang 21.3 peratus daripada hasil kerajaan berbanding 13.1 peratus daripada pendapatan berkaitan minyak dan gas di mana sebelum pengenalan GST, SST hanya menyediakan hasil secara kasarnya 7.5 peratus.

“Untuk lebih jelas lagi, tanpa hasil cukai tambahan daripada GST, kerajaan akan mencatatkan defisit 4.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2017 berbanding tiga peratus,” kata kumpulan perbankan itu dalam laporan terkini Global Research mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Kumpulan itu berkata pembangkang juga mencadangkan pengenalan semula subsidi bahan api terpilih bagi motosikal di bawah 125cc dan kereta di bawah 1,300cc.

“Ini membayangkan defisit bajet lebih tinggi berikutan ketiadaan hasil mengimbangi,” kata HSBC Group.- BERNAMA