Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hadir pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Kedah PRU-14 di Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti, Kedah. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2018

ALOR SETAR – Sebuah stadium baharu akan dibina dan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia akan ditubuhkan jika Barisan Nasional (BN) diberikan mandat dalam Pilian Raya Umum Ke-14 kali ini.

Tawaran itu antara yang dimasukkan dalam Manifesto BN Kedah kali ini bertemakan ‘Menerus Kemajuan, Menzahir Impian’ yang diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah malam ini.

Manifesto tersebut merupakan langkah diambil BN untuk terus membela golongan belia di negeri tersebut sebagai penyambung legasi pada masa hadapan kelak.

“Tidak dapat disangkal lagi, 42 peratus dari keseluruhan penduduk Kedah adalah anak muda. Masa Depan Kedah perlu disusun dan disingkap bermula hari ini,” kata beliau semasa berucap dihadapan ribuan orang ramai ketika melancarkan Manifesto BN Kedah sempena PRU-14 di Stadium Suka Menanti.

Stadium baharu itu dianggarkan bernilai RM200 juta.

Penyokong Kedah

Selain itu, manifesto tersebut menawarkan penyediaan Kompleks Sukan Rakyat Setiap Daerah di seluruh Kedah.

Turut ditawarkan dalam manifesto kali ini adalah insentif one-off RM1,000 bagi anak Kedah yang mendapat Ijazah Kepujian Kelas Pertama dan keutamaan rumah transit bagi pasangan muda yang berkahwin.

Manifesto BN Kedah juga menawarkan bagi pasangan muda yang berkahwin dalam program Walimatul Urus Perdana dengan hanya membayar caj RM500, dengan kesemua urusan majlis keraian, persandingan, dan pakej berbulan madu ditanggung pihak Urusetia.

Kerajaan BN juga akan menyediakan pusat jagaan harian transit untuk pasangan muda yang mempunyai anak kecil. – MalaysiaGazette

Lima Tawaran Belia Kedah

1) Pembinaan stadium bola sepak dengan kos RM200 juta

2) Meneruskan Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) dengan tambahan acara melibatkan kos RM5 juta

3) Memperkasa program pembangunan sukan akar umbi melibatkan sukan utama bola sepak di ADAB dengan kos RM3 juta, selain menggilap bakat sukan seperti squash, sepak takraw dan badminton, melibatkan biaya RM3 juta

4) Mewujudkan Briged Sukarelawan Muafakat Kedah dengan peruntukan RM3 juta

5) Membina Kompleks Sukan Rakyat di setiap daerah dengan perbelanjaan berjumlah RM24 juta.- MalaysiaGazette